
EMILIA ROMAGNA, Itali – Jurulatih Itali, Luciano Spalletti gembira dapat menghadiahkan tiga mata pada tugasan terakhirnya selaku pengendali pasukan selepas menewaskan Moldova 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Mapei itu, skuad Azzurri bangkit daripada kekecewaan apabila tewas 0-3 kepada Norway minggu lalu untuk meraih kemenangan hasil penyudah Giacomo Raspadori dan Andrea Cambiaso.
Kemenangan tersebut menoktahkan perjuangan Spalletti yang hampir dua tahun membimbing Itali selepas Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) membuat keputusan mengejut memecatnya sebelim perlawanan tersebut.
“Kami masih tidak beraksi pada tahap yang diharapkan dan saya akui tidak dapat memberikan skuad yang cemerlang kepada jurulatih baharu.
“Mungkin silap saya kerana tidak dapat membimbing pemain ini dengan baik tetapi inilah cabaran buat saya sepanjang dua tahun bersama pasukan. Terima kasih kepada penyokong yang menghargai kerja saya selama ini,” katanya.
Kapten Itali, Gianluigi Donnarumma mengakui sikap pemain wajar dipersalahkan kerana tidak serius untuk tampil kompetitif di peringkat antarabangsa.
“Ini adalah minggu yang sukar buat kami selepas Spalletti sah meninggalkan pasukan. Kami hanya boleh salahkan diri sendiri kerana sejak beberapa perlawanan lepas, kami tidak berada pada tahap terbaik,” kata penjaga gol Paris Saint-Germain itu.
Difahamkan, FIGC telah menyenaraikan beberapa calon untuk menggantikan tempat Spalletti antaranya Claudio Ranieri, Stefano Pioli, Antonio Conte dan Thiago Motta – AGENSI
The post Kemenangan terakhir Spalletti buat Itali appeared first on Kosmo Digital.