Auto Added by WPeMatico

![]()
LONDON: Marc Marquez mengakui jentera MotoGP moden tidak lagi memberikan kepuasan seperti sedekad lalu apabila pelumba kini terpaksa mengikut kehendak aerodinamik berbanding bergantung kepada kemahiran sendiri.
Juara dunia tujuh kali itu berkata, perubahan besar terhadap aerodinamik dan penggunaan peranti ride height telah mengubah sepenuhnya karakter perlumbaan sehingga gaya tunggangan menjadi terlalu mekanikal.
“Saya paling seronok menunggang jentera pada 2014, 2015 dan 2016 ketika belum ada aerodinamik. Sekarang motosikal ini memang menyeronokkan, tetapi gaya tunggangannya lebih seperti robot.
“Anda perlu mengikut apa yang dimahukan aerodinamik dan tidak lagi boleh memaksa motosikal mengikut kehendak sendiri. Jika anda melawan aerodinamik, anda akan menjadi lebih perlahan,” katanya.
Menurut pelumba Ducati itu, situasi berkenaan jauh berbeza berbanding era terdahulu apabila pelumba masih mampu mencari had sebenar motosikal dan memperoleh kelebihan melalui kemahiran mengawal jentera.
“Pada 2014, 2015 dan 2016, apabila anda memaksa motosikal melepasi hadnya, anda sebenarnya lebih pantas kerana motosikal mula meluncur dan bahagian hadapan mula hilang cengkaman. Sebab itu kita sering melihat aksi menyelamat yang luar biasa.
“Sekarang tidak lagi kerana daya tekan ke bawah terlalu tinggi. Apabila tayar hadapan hilang cengkaman, ia tidak akan kembali pulih. Itulah karakter motosikal ketika saya bersama Honda dan ia bukan soal Honda atau Ducati, tetapi gaya motosikal itu sendiri,” katanya.
MotoGP bakal memperkenalkan peraturan baharu pada 2027 yang menyaksikan penggunaan aerodinamik dikurangkan dan peranti ride height diharamkan sepenuhnya, namun Marquez berpendapat pengurangan terhadap aerodinamik sepatutnya dilakukan dengan lebih drastik. – AGENSI
The post Marquez rindu MotoGP lama, dakwa jentera kini seperti robot appeared first on Utusan Malaysia.
