Auto Added by WPeMatico

![]()
KEMAMAN – Seorang kakak penyayang yang mahu melepaskan adiknya daripada tahanan lokap polis dimanipulasi seorang penjenayah menyamar anggota polis sehingga kerugian RM9,000.
Penghantar barang wanita berusia 35 tahun tersebut yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, wanita berkenaan telah dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri kononnya anggota polis pada kelmarin.
“Suspek menawarkan bantuan kononnya boleh membebaskan adik mangsa yang sedang ditahan polis bagi membantu penyiasatan kes jenayah.
“Adik mangsa kononnya boleh dibebaskan asalkan membayar wang jaminan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Wan Muhamad berkata, wanita terbabit yang menaruh kepercayaan telah mengikut arahan suspek dengan membuat pembayaran kononnya ‘wang jaminan’ berjumlah keseluruhan RM9,000.
Beliau berkata, pembayaran berkenaan dilakukan menerusi dua transaksi ke dalam akaun bank diberi suspek pada kelmarin dan semalam.
“Mangsa hanya menyedari tertipu apabila semakan dengan pegawai penyiasat polis terlibat menafikan pernah menghubunginya dan mengarahkan pembayaran wang jaminan.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post RM9,000 lebur ditipu anggota polis palsu appeared first on Kosmo Digital.