Auto Added by WPeMatico

![]()
SYDNEY: Kepulangan Mykhailo Mudryk menjadi berita gembira buat Chelsea selepas pemain sayap Ukraine itu memenangi rayuan terhadap penggantungan doping yang menjejaskan kariernya sejak dua tahun lalu.
Mudryk kini dibenarkan kembali beraksi selepas Persatuan Bolasepak England (FA) dan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) menyelesaikan kes yang menyelubungi pemain berusia 25 tahun itu sejak positif meldonium pada 2024.
Perkembangan itu membuka jalan buat bekas pemain Shakhtar Donetsk berkenaan menyertai semula Chelsea dalam jelajah pramusim di Hong Kong minggu ini dan ia memberi nafas baharu kepada kariernya yang terhenti sejak November 2024.
“Kami gembira, terutama untuk dirinya kerana kami tidak dapat membayangkan apa yang sudah dilaluinya sepanjang tempoh ini dan bagaimana perasaannya ketika ini.
“Kami mahu dia kembali merasakan dirinya sebahagian daripada pasukan kerana dia sudah lama tidak menikmati suasana itu. Kami juga mahu dia tahu dia mendapat sokongan penuh daripada kelab, rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan.
“Sejujurnya kami tidak menjangka menerima berita baik seperti ini pada waktu ini, jadi kami sangat gembira dia akan bersama kami,” kata Pengurus Chelsea, Xabi Alonso.
Mudryk dijangka tiba di Hong Kong menjelang aksi persahabatan menentang Juventus pada Rabu selepas Chelsea menutup kem latihan mereka di Australia dengan kekalahan 1-2 kepada Tottenham Hotspur di Sydney, semalam.
Walaupun dibenarkan kembali beraksi, Alonso menegaskan Chelsea tidak akan tergesa-gesa menurunkan pemain itu kerana memahami cabaran besar yang perlu dihadapi selepas sekian lama terpisah daripada suasana kompetitif.
Kepulangan Mudryk turut disambut baik oleh pengendali Tottenham Hotspur, Roberto De Zerbi yang pernah membimbing pemain itu ketika bersama Shakhtar Donetsk.
“Dia seperti anak saya. Dia seorang yang baik dan pemain berkualiti. Saya harap dia dapat membuktikan segala kesukaran yang dilaluinya sejak dua musim lalu pada musim ini,” katanya.
Mudryk menyertai Chelsea pada Januari 2023 dari Shakhtar Donetsk menerusi perpindahan bernilai 62 juta pound (RM354 juta) dan pernah dianggap antara prospek paling berbakat di Eropah sebelum kariernya terjejas akibat kes doping tersebut.
Dia sebelum ini mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), manakala perubahan prosedur WADA yang berkuat kuasa selepas itu turut menyebabkan keputusan ujian yang sama pada masa kini tidak lagi membawa kepada pendakwaan, sekali gus membuka ruang kepada kepulangannya ke pentas bola sepak profesional.-AGENSI
The post Chelsea lega Mudryk kembali appeared first on Utusan Malaysia.
