Auto Added by WPeMatico

![]()
PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) sudah bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran getir Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Parc des Princes awal pagi esok.
Juara Eropah itu dalam momentum terbaik susulan kemenangan 1-0 ke atas Nice hujung minggu lalu hasil jaringan masa kecederaan Goncalo Ramos yang mengembalikan mereka ke puncak Ligue 1 selepas 11 perlawanan.
Kemenangan berharga itu juga menamatkan rentetan tiga keputusan seri daripada empat aksi terakhir liga dan menyuntik semangat baharu menjelang cabaran Eropah.
Pengendali PSG, Luis Enrique menegaskan skuad bimbingannya itu kini telah mengalihkan tumpuan untuk berdepan Bayern yang dianggap antara pasukan terbaik Eropah.
“Bayern menang 15 perlawanan terakhir, satu rekod luar biasa. Kami teruja menentang salah satu pasukan terbaik Eropah dan penyokong kami di Parc des Princes pasti mencipta suasana hebat,” katanya.
Dalam masa sama, Enrique turut menepis dakwaan yang mengatakan PSG tidak lagi konsisten dalam saingan domestik selepas bergelar juara Eropah musim lalu.
“Dakwaan itu tidak benar. Musim masih panjang dan tugas kami adalah mengurus semua kejohanan dengan baik. Penyokong terus beri semangat hingga minit ke-94 menentang Nice dan itu menunjukkan karakter sebenar pasukan ini,” ujarnya.
Setakat ini, PSG mencatat tujuh kemenangan, tiga seri dan hanya satu kekalahan, 0-1 kepada Marseille dalam semua pertandingan musim ini.
Di pentas UCL, naib juara Piala Dunia Kelab itu tampil garang dengan deretan kemenangan besar menewaskan Atalanta 4-0, Barcelona 2-1 dan Bayer Leverkusen 7-2 selain menjulang Piala Super Eropah menewaskan Tottenham Hotspur menerusi penentuan penalti. – AGENSI
The post Pertembungan dua gergasi Eropah – Enrique appeared first on Kosmo Digital.