
![]()
PETALING JAYA – Taktik menjadikan sebuah premis sebagai lokasi penyimpanan dan pemindahan minyak diesel secara haram terbongkar selepas pihak berkuasa menyerbu tempat berkenaan dalam satu operasi di daerah ini, Khamis lalu.
Serbuan kira-kira pukul 2 petang itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki serta rampasan pelbagai barangan termasuk kenderaan dan cecair disyaki diesel bernilai lebih RM350,000.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, serbuan dilakukan Pasukan Risik PSP Bukit Aman hasil risikan yang dijalankan sebelum ini.
Menurutnya, pemeriksaan di premis berkenaan mendapati lokasi itu dipercayai dijadikan tempat menyimpan dan memindahkan minyak diesel secara tidak sah.
“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa peralatan serta tangki yang dipercayai digunakan bagi menyimpan dan memindahkan minyak diesel.
“Pasukan serbuan turut merampas sebuah lori bonded, beberapa tangki simpanan termasuk tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) yang disyaki mengandungi minyak diesel serta beberapa peralatan berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosli berkata, keseluruhan nilai rampasan membabitkan kenderaan, cecair disyaki minyak diesel dan peralatan berkaitan dianggarkan RM359,207.
Katanya, kedua-dua lelaki yang ditahan bersama barangan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – KOSMO! ONLINE
The post 2 lelaki ditahan seleweng diesel, rampasan lebih RM350,000 appeared first on Kosmo Digital.


