
![]()
LONDON: Landskap bola sepak global diambang perpecahan selepas Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dilaporkan bakal menganjurkan kejohanan bertaraf Piala Dunia jika Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino enggan melepaskan jawatan.
Krisis itu tercetus susulan kontroversi membabitkan cadangan penjualan pegangan komersial Piala Dunia kepada pelabur swasta menerusi projek yang dikaitkan dengan FIFA sebelum rancangan tersebut akhirnya ditarik balik selepas menerima bantahan meluas.
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin dilaporkan mengetuai usaha membentuk pakatan bersama beberapa konfederasi lain termasuk Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) bagi meningkatkan tekanan terhadap Infantino menjelang pemilihan presiden FIFA akan datang.
Menurut laporan media antarabangsa, kumpulan tersebut sedang mempertimbangkan penganjuran kejohanan global alternatif yang boleh menjadi pesaing kepada Piala Dunia jika Infantino terus mempertahankan kedudukannya.
Ceferin menegaskan bola sepak tidak sepatutnya dilayan sebagai aset komersial yang boleh dijual kepada pihak luar demi keuntungan jangka pendek.
Beliau turut menyifatkan cadangan berkenaan sebagai langkah yang melangkaui batas tadbir urus sukan dan memberi amaran bahawa UEFA bersedia mempertahankan kepentingan bola sepak dunia melalui segala saluran yang ada.
“Tiada siapa yang memiliki bola sepak. Ia milik jutaan penyokong, pemain dan komuniti di seluruh dunia. Sebab itu kami percaya nilai serta integriti sukan ini perlu dilindungi.
“Ini bukan sekadar isu komersial. Ia berkaitan masa depan bola sepak. Kami tidak boleh membenarkan keputusan sebesar ini dibuat tanpa ketelusan dan tanpa mengambil kira pandangan pihak berkepentingan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beberapa persatuan bola sepak termasuk England dan Wales dilaporkan menarik balik sokongan terhadap Infantino, manakala UEFA turut mempertimbangkan tindakan undang-undang berkaitan kontroversi tersebut.
Kedudukan Infantino kini semakin tertekan apabila pelbagai pihak dalam bola sepak antarabangsa mula mempersoalkan kepemimpinannya, sekali gus membuka kemungkinan berlakunya perebutan kuasa paling sengit dalam FIFA sejak sedekad lalu. – AGENSI/UTUSAN
The post UEFA desak Infantino letak jawatan appeared first on Utusan Malaysia.




