Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini membenarkan permohonan ahli perniagaan Tan Sri Shahril Shamsuddin mengemukakan bantahan awal berhubung pemberian hibah 14.8 juta unit yang diberikan bapanya yang juga pengasas Sapura Holdings Sdn. Bhd.
Hakim Syarie Ahmad Irwan Ismail memutuskan demikian selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak, hari ini.
Terdahulu, peguam syarie, Dr. Mohd. Rafie Mohd. Shafie yang mewakili Shahril selaku defendan pertama berhujah, bantahan awal tersebut dibuat bagi membuktikan dakwaan-dakwaan plaintif tidak berasas.
“Permohonan bantahan awal ini adalah hak defendan dan undang-undang membenarkan perkara tersebut. Walaupun dikatakan membuang masa, ini adalah hak kami dan kami memohon supaya mahkamah membenarkan bantahan awal ini difailkan,” kata peguam syarie itu.
Mendengar perkara itu peguam syarie, Suhaimi Saad yang mewakili Pengasas Sapura Holdings Sdn. Bhd. Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir kemudian membantah dengan alasan tiada sebarang unsur kekhilafan dalam pliding yang dibuat.
Selepas mendengar makluman dan hujahan pihak-pihak, mahkamah kemudian menetapkan 24 Februari ini bagi sebutan semula kes.
Dalam prosiding sama, seorang lagi peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili anak Shamsuddin iaitu Shahriman selaku defendan kedua tidak membantah permohonan pengesahan hibah oleh plaintif.
Pada prosiding terdahulu, Shamsuddin memohon perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk mengesahkan pemberian hibah lebih 14.8 juta unit saham syarikat kepada dua anak lelakinya 28 tahun yang lalu di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini.
Kedua-dua anak Shamsuddin itu ialah Shahril, 64, selaku defendan pertama dan Shahriman, 56, yang dinamakan sebagai defendan kedua yang mana mereka masing-masing memperoleh 14.8 juta unit saham pada tahun 1997.
Berdasarkan tuntutannya, Shamsuddin menyatakan, beliau telah membuat majlis hibah pada 7 November 1997 di Bangunan Sapura, Ulu Klang di sini untuk menghibahkan secara lisan saham-saham miliknya di syarikat Sapura Holdings dan percaya rukun-rukun hibah telah disempurnakan mengikut hukum syarak.
Tuntutan yang difailkan pada 2 September lalu turut menyatakan saham-saham syarikat tersebut milik mutlak plaintif selaku pemberi hibah pada masa material sebelum dipindah milik dan didaftarkan atas nama defendan pertama dan kedua.
Oleh itu, plaintif memohon mahkamah membenarkan permohonannya untuk mengesahkan hibah tersebut selaras dengan peruntukan Seksyen 46(2)(b)(vi) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993).
Plaintif memohon pengesahan hibah kepada defendan masing-masing iaitu sebanyak 14.8 juta unit saham biasa bernilai RM1 setiap satu, sah dan menurut hukum syarak. – KOSMO! ONLINE
The post Anak pengasas Sapura Holdings dibenar kemuka bantahan awal appeared first on Kosmo Digital.