Auto Added by WPeMatico

![]()
TEMERLOH – Seorang pembantu pegawai kesihatan maut dalam kejadian kemalangan melibatkan empat buah kenderaan Kilometer 26 Jalan Jerantut-Temerloh di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.41 pagi itu, mangsa, R.Sathiyan, 43, yang memandu kereta jenis Proton Saga disahkan maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Nasyim Bahron berkata, kejadian melibatkan kereta dipandu mangsa serta kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza, trak pikap jenis Toyota Hilux dan sebuah lori.
“Kemalangan berlaku semasa pemandu Perodua Alza dari arah Temerloh menuju ke arah Jerantut, berhenti di tengah jalan untuk membelok masuk ke simpang di sebelah kanan.
“Kemudian lori yang datang dari belakang telah hilang kawalan dan langgar belakang Perodua Alza menyebabkan MPV berkenaan masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta Proton Saga yang sedang menuju ke arah Temerloh.
“Susulan itu sebuah trak pikap yang sedang datang dari belakang kereta Proton Saga tidak dapat mengelak lalu terlanggar kereta berkenaan,”katanya di sini hari ini.
Nasyim berkata, mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Pembantu pegawai kesihatan maut kemalangan empat kenderaan appeared first on Kosmo Digital.
