Auto Added by WPeMatico

![]()
WASHINGTON: Hampir separuh daripada keseluruhan populasi penduduk Amerika Syarikat (AS) kini berdepan ancaman gegaran gempa bumi dahsyat yang berupaya merosakkan struktur bangunan, menurut dapatan kajian terbaharu.
Menerusi model bahaya terbaharu yang dikeluarkan Kajian Geologi AS (USGS), penyelidik mendapati seramai 159.2 juta penduduk kini menetap di kawasan yang terdedah kepada ancaman gegaran sangat kuat.
Jumlah itu mencatatkan peningkatan ketara berbanding 111.8 juta orang dalam laporan model terdahulu.
Penilaian terbaharu itu meletakkan kira-kira 47.3 juta kediaman dan premis bangunan bernilai AS$25.6 trilion (RM104.6 trilion) berdepan potensi bahaya.
Bagi skala gegaran kuat yang berada pada tahap berisiko merosakkan, bilangan penduduk AS yang terdedah kepada ancaman tersebut melonjak sehingga mencecah kira-kira 234 juta orang.
Meskipun California kekal sebagai salah satu kawasan ‘hotspot’ gempa bumi paling terkenal di negara itu, kajian mendapati ancaman berkenaan kini merebak jauh merentasi pantai barat.
Risiko bahaya dilapor meningkat di sekitar Zon Seismik New Madrid yang terletak di bahagian tengah AS.
Sementara itu, rangkaian jambatan yang padat dengan lalu lintas menjadikan kawasan New York, Atlanta dan St. Louis mengalami risiko gangguan struktur yang sangat serius secara tidak dijangka.
Para penyelidik memberi amaran bahawa kerosakan pada laluan atau jambatan utama boleh memutuskan perhubungan kawasan perumahan dengan hospital, melambatkan giliran pasukan penyelamat dan melumpuhkan lalu lintas dalam tempoh lama selepas gegaran berhenti.
Bagaimanapun, angka terbaharu itu tidak bermakna kejadian gempa bumi berlaku secara mendadak atau lebih kerap berbanding biasa.
Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa penambahbaikan pada model sains telah membongkar hakikat bahawa lebih ramai penduduk, rumah dan fasiliti infrastruktur penting sebenarnya terdedah kepada bahaya berbanding anggaran sebelum ini.
Pada Oktober 1989, gempa bumi berukuran 6.9 magnitud berlaku sehingga mengegarkan San Francisco pada waktu petang sehingga mengorbankan kira-kira 63 orang dan menyebabkan kerosakan bernilai AS$1 bilion (RM4.09 bilion).
Gempa bumi besar terakhir sebelum itu melanda San Francisco pada 1906, mengorbankan kira-kira 2,000 orang. – AGENSI
The post Amaran gempa bumi: 159 juta rakyat AS dalam bahaya appeared first on Utusan Malaysia.


