Auto Added by WPeMatico

SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Op Khas ‘JPJ Inspection and Safety Audit’ (JISA) melibatkan sebanyak 500 syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB), bermula Isnin ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, syarikat berkenaan telah dikenal pasti melalui senarai yang diperoleh daripada JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan kesemuanya mempunyai saman tertunggak yang masih belum diselesaikan.
Menurutnya, pelaksanaan operasi khas itu memberi penekanan kepada penilaian pematuhan terhadap aspek pengurusan pemandu, penyelenggaraan kenderaan, tahap keselamatan serta rekod pematuhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan.
“Selain itu, audit keselamatan juga akan melihat kepada pematuhan Kod Tata Amalan Industri (ICOP) dalam sektor pengangkutan, termasuk semakan ke atas pelan teknikal kenderaan serta proses penyelesaian saman oleh pemilik dan pemandu kenderaan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Pulau Pinang yang berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa audit yang dilaksanakan itu merupakan respons kepada kemalangan tragik yang melibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu serta beberapa insiden kemalangan membabitkan kenderaan berat yang semakin membimbangkan.
Tambah beliau, hasil statistik yang direkodkan menunjukkan terdapat 300 lori, 100 bas persiaran dan 100 bas ekspres berada dalam kategori berisiko tinggi yang akan diberi keutamaan dalam audit kali ini. – KOSMO! ONLINE
The post JPJ audit 500 syarikat pengendali KPA, KPB minggu depan appeared first on Kosmo Digital.