Auto Added by WPeMatico

SELAMA ini, kereta sering dianggap sebagai salah satu penyumbang pencemaran kerana asap yang keluar dari paip ekzos.
Namun, sebuah kereta konsep elektrik baharu berjaya mengubah persepsi tersebut.
Hal ini dizahirkan oleh sekumpulan pelajar dari Eindhoven University of Technology di Belanda yang berjaya menghasilkan inovasi kenderaan elektrik dengan keupayaan ‘menangkap’ sebahagian zarah pencemaran ketika ia bergerak.
Menurut pengurus kumpulan tersebut, Tim Spencer, idea kereta yang dikenali sebagai Ventra itu bermula daripada satu persoalan mudah, jika kereta elektrik tidak mempunyai ekzos, dari manakah pencemaran masih datang?
“Tiada pelepasan asap melalui ekzos tidak bermakna tiada pelepasan pencemaran, kenderaan elektrik juga menyumbang menerusi kehausan tayar, brek dan permukaan jalan.
“Setiap kali tayar bergesel dengan permukaan jalan atau brek digunakan, zarah halus boleh terhasil dan tersebar ke udara.
“Malah, berat tambahan bateri pada kenderaan elektrik juga boleh meningkatkan beban terhadap tayar,” katanya dalam artikel di portal Interesting Engineering.

Tambahnya, situasi itu menggambarkan hakikat bahawa tiada ekzos tidak bermakna sesebuah kenderaan bebas sepenuhnya daripada menghasilkan zarah pencemar.
Justeru, Ventra dibangunkan dengan pendekatan tiga peringkat iaitu mengurangkan, memantau dan menangkap zarah pencemar.
Bahagian paling menarik adalah sistem dikenali sebagai TRACE iaitu singkatan kepada Tire and Road Abrasion Capture by Electrostatics.
Sistem itu ditempatkan berhampiran roda untuk menangkap zarah yang terhasil daripada kehausan tayar dan permukaan jalan.
Kongsi Spencer, berbeza dengan penapis konvensional yang menggunakan bahan penapisan untuk memerangkap habuk, TRACE mengaplikasi prinsip elektrostatik.
“Zarah yang berada berhampiran roda diberikan cas elektrik, sebelum ditarik ke tempat pengumpulan yang mempunyai cas berlawanan atau dibumikan.
“Dengan cara ini, zarah halus yang sepatutnya berterbangan ke persekitaran dapat dikumpulkan pada permukaan khas di sekitar roda,” ujarnya.
Katanya lagi, mekanisme itu turut mengambil kira perbezaan keadaan pemanduan.

Ketika kenderaan bergerak pada kelajuan antara 50 hingga 80 kilometer sejam, aliran udara di sekitar roda membantu membawa zarah ke sistem pengumpulan.
Simulasi pasukan menunjukkan lebih 24 peratus zarah yang dihasilkan tayar boleh diarahkan ke dalam sistem pada julat kelajuan tersebut.
Dalam pemanduan bandar yang biasanya lebih perlahan, Ventra menggunakan kipas untuk membantu menarik udara tercemar masuk ke kawasan perangkap.
Hasil simulasi menunjukkan, kadar tangkapan boleh meningkat sehingga 42 peratus dalam keadaan pemanduan bandar.
Angka tersebut merupakan hasil simulasi, bukannya ukuran prestasi dunia sebenar bagi sebuah kereta produksi.
“Ventra tidak hanya menangkap pencemaran yang sudah terhasil. Reka bentuk kereta ini turut mengurangkan pencemaran.
“Struktur casisnya menggunakan bahan komposit berasaskan gentian karbon dengan berat sekitar 135 kilogram (kg), manakala monokok utamanya hanya sekitar 45.5kg,” tambah Spencer.
Keseluruhan kenderaan pula mempunyai berat kira-kira 790kg.
Pengurangan berat itu penting kerana semakin ringan kenderaan, semakin rendah daya yang dikenakan pada tayar ketika bersentuhan dengan jalan.
Selain aspek mekanikal, Ventra turut menggunakan sistem perisian Clean Drive yang menjadikan pemandu sebahagian daripada mekanisme mengurangkan pencemaran.
Sistem itu memantau pecutan, brek dan pergerakan stereng, sebelum memberikan maklum balas kepada pemandu supaya menggunakan input yang lebih lancar.
Pecutan agresif dan membrek secara kasar boleh meningkatkan kehausan tayar serta brek. Jadi, gaya pemanduan turut mempengaruhi jumlah zarah yang dihasilkan.
Lebih menarik, zarah yang dikumpulkan tidak semestinya berakhir sebagai sisa.
Kumpulan itu menunjukkan bahawa bahan yang ditangkap boleh dikeluarkan daripada permukaan pengumpulan menggunakan vakum atau air, sebelum diproses semula.
Dalam demonstrasi Ventra, sebahagian bahan tersebut digunakan dalam lapisan enamel pada bahagian dalaman kenderaan.
Ketika ini, Ventra masih merupakan kereta konsep, bukannya model elektrik yang tersedia untuk dibeli.
Namun, teknologi yang diperkenalkan itu memperlihatkan pendekatan baharu terhadap masalah pelepasan pencemaran dari kenderaan.
Spencer menjelaskan, matlamat pasukan itu bukan sekadar membangunkan sebuah kereta eksperimen, sebaliknya mahu menunjukkan kepada industri bahawa penyelesaian pencemaran boleh melangkaui sistem ekzos.
The post Inovasi kereta perangkap pencemaran ketika bergerak appeared first on Kosmo Online.
