
![]()
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kekal menjalani baki hukuman pemenjaraannya di Penjara Kajang.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching menolak semakan Najib, 72, berhubung Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki pemenjaraan di rumah.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu, dihukum penjara enam tahun dan denda RM50 juta selepas didapati bersalah atas kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Sebelum ini, pihak pembelaan Najib menegaskan, sekiranya permohonan semakan kehakiman berhubung perintah adendum dibenar, bekas Perdana Menteri itu akan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah serta-merta.
Terdahulu keputusan kerajaan atau enam pihak lain untuk mengesah dan melaksanakan Titah Adendum terhadap Najib diawalkan hari ini.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta-merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum, dipercepatkan pendengarannya di Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE
The post Titah Adendum: Najib gagal jalani baki hukuman di rumah, kekal Penjara Kajang appeared first on Kosmo Digital.