
PENYANYI yang juga peserta Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Nubhan menafikan dakwaan bekas isterinya, Dr. Afifah kononnya bibik atau pembantu rumah mereka mencium bibir anak lelakinya baru-baru ini.
Menurut Nubhan atau nama lengkapnya Ahmad Nubhan Ahamad, 39, tiada sebarang aksi cium mulut seperti yang didakwa kerana ketika itu terdapat ramai orang di tempat kejadian.
“Saya bawa bibik untuk melawat anak saya yang sakit di hospital. Di situ ada ramai orang yang menyaksikan. Jadi saya menafikan perbuatan cium mulut itu berlaku.
“Kalau dia (bekas isteri) nak bawa perkara ini ke tengah, dia boleh buat laporan polis. Saya bersedia untuk memberi kerjasama yang penuh,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert minggu ketujuh GV12, di sini, semalam.
Ditanya sama ada dia tidak penat turun naik mahkamah, kata pelantun lagu Ada Untukmu itu, jika itu adalah saluran terbaik untuk selesaikan segala masalah, tidak menjadi beban buat dirinya.
“Kalau itu adalah cara yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak, Insya-Allah tiada masalah untuk saya. Saya akan beri kerjasama.
“Daripada berlarutan sehingga menjadi asbab untuk orang berkata-kata, biarlah kita guna saluran yang betul,” jelasnya.
Terdahulu Dr. Afifah mendakwa pembantu rumah Nubhan mencium bibir anak mereka, Ahmad Affan, 6, yang sedang sakit tanpa memakai pelitup muka sewaktu membuat lawatan di hospital.
Tambahnya lagi, dia telah menegur perbuatan tersebut tetapi tiada permohonan maaf dibuat sebaliknya bekas suaminya itu sekadar tersenyum.
Dia turut menggelar bekas suaminya ‘gila’ kerana membiarkan perbuatan tersebut.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah sah bercerai talak dua pada 2 Disember lalu selepas 10 tahun berkahwin. – HIBGLAM
The post Saya nafikan perbuatan cium mulut itu berlaku – Nubhan appeared first on HibGlam.