Auto Added by WPeMatico

![]()
SETIAP kali pilihan raya menjelang, pentas ceramah menjadi medan utama parti politik memikat hati pengundi.
Di situlah lahir pelbagai manifesto dan janji, daripada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, rumah mampu milik hinggalah pembangunan infrastruktur yang disusun bagi meyakinkan rakyat.
Namun, apabila tempoh penggal menghampiri penghujung, sebahagian daripada janji tersebut sekadar tinggal dalam rakaman ceramah, poster kempen dan helaian manifesto.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru sahaja melabuhkan tirai sekali lagi menyaksikan pertandingan idea dan tawaran kepada rakyat melalui pelbagai manifesto.
Kini, tumpuan beralih ke Negeri Sembilan yang sudah memasuki fasa kempen, sekali gus memperlihatkan rakyat kembali dihujani pelbagai janji daripada 103 calon bertanding.
Dalam masa sama, parti-parti politik juga mula menyusun strategi awal sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung tahun hadapan.
Tidak mustahil, manifesto yang sedang ditawarkan pada PRN hari ini bakal menjadi asas kepada naratif dan pendekatan mereka pada pilihan raya umum akan datang.
Persoalannya, berapa ramai wakil rakyat benar-benar kembali meneliti manifesto masing-masing selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen?
Tidak dinafikan ada yang bekerja keras menunaikan janji dengan sanggup berlari beratus kilometer, menggunakan kesemua gaji wakil rakyat untuk rakyatnya dan bersedia dikecam demi mengumpul dana.
Namun, ada juga memberi pelbagai alasan apabila rakyat menuntut apa yang dijanjikan.
Profesor Madya Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Dr. Azmil Mohd. Tayeb berkata, budaya menabur janji ketika pilihan raya bukanlah fenomena yang hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada pertandingan politik di banyak negara.
Menurut beliau, pengundi perlu lebih rasional dalam menilai setiap manifesto dengan melihat sama ada janji yang dibuat benar-benar realistik untuk dilaksanakan, selain meneliti rekod prestasi calon dan parti politik berkenaan.
“Faktor utama manifesto gagal adalah kerana janji tidak menyambung dengan realiti. Juga komposisi komponen koalisi yang membentuk majoriti selepas pilihan raya juga boleh mengekang sesebuah parti untuk menunaikan janjinya.
“Banyak calon dan parti tidak mempunyai kemahuan politik untuk menunaikan janji kerana dilihat tidak menguntungkan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Sehubungan itu, Azmil berpandangan sudah tiba masanya budaya akauntabiliti diperkasakan dengan pengundi mendesak wakil rakyat mengeluarkan laporan prestasi setiap tahun sebagai ukuran pencapaian sepanjang memegang mandat.
“Wakil rakyat perlu mengadakan perjumpaan bersama pengundi secara berkala untuk menjelaskan prestasi mereka,” cadangnya.
Senario PRN Johor dan kini PRN Negeri Sembilan sepatutnya menjadi peringatan kepada semua parti politik bahawa pengundi hari ini semakin celik maklumat serta lebih kritikal dalam membuat penilaian.
Janji yang dibuat tidak sukar untuk dilupakan kerana semuanya boleh dirujuk semula melalui media sosial dan platform digital termasuk penerbitan artikel di surat khabar.
The post YB… sudah menang jangan pula lupa janji appeared first on Kosmo Digital.
