Auto Added by WPeMatico

SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa semua sekolah berasrama di bawah seliaannya selamat malah ibu bapa tidak perlu berasa gusar untuk menghantar anak-anak mereka.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan dan pelbagai langkah penambahbaikan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.
Menurutnya, kementerian sentiasa memperkukuh aspek keselamatan serta menambah baik ekosistem sekolah asrama agar terus diyakini ibu bapa dan memberi impak positif kepada pendidikan anak-anak.
“Saya ingin beri jaminan bahawa sekolah-sekolah berasrama di bawah KPM masih selamat.
“Oleh itu, ibu bapa tidak perlu risau. Kita komited mengambil apa sahaja langkah yang perlu untuk mengekalkan keselamatan di semua institusi ini,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mendakwa wujud ketakutan dalam kalangan ibu bapa di Sabah untuk menghantar anak ke sekolah berasrama.
Fadhlina ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik di Sekolah Sinar Harapan, Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Terdahulu, Bung Moktar dalam perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat kelmarin mendakwa isu buli di sekolah asrama kini semakin membimbangkan dan menyebabkan ramai ibu bapa menjadi fobia khususnya di Sabah.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, di sebuah sekolah di Papar, Sabah yang dikaitkan dengan unsur buli.
Sehubungan itu, Bung Moktar menggesa KPM mencari pendekatan baharu dalam menangani isu buli di sekolah berasrama, sama ada di sekolah kebangsaan, agama mahupun vokasional.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, dalam usaha mendidik dan memulihkan pelajar yang terlibat dalam salah laku buli, kementerian memperkenalkan program Bangkit Bermaruah iaitu satu bentuk khidmat masyarakat bagi pelajar yang dikenakan tindakan gantung persekolahan.
“Anak-anak yang digantung akibat kesalahan disiplin termasuk buli tidak akan hanya duduk di rumah. Mereka akan terlibat dalam program khidmat masyarakat ini yang diuruskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) setiap negeri,” tambahnya lagi. -KOSMO! ONLINE
The post Asrama masih selamat, ibu bapa tak perlu risau – Fadhlina appeared first on Kosmo Digital.