Auto Added by WPeMatico

SUNGAI PETANI – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki al-Quran yang tiada kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mac tahun lalu.
Tertuduh, Syaher Ikmil Abd. Rahim, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki 100 naskhah al-Quran Al-Fathan yang diletakkan di dalam bonet kereta Proton Saga FLX miliknya di ruang letak kereta di Pasaraya Econsave Jalan Kuala Ketil pada pukul 2 petang, 21 Mac lepas.
Dia turut didakwa memiliki 60 naskhah al-Quran Al-Fathan saiz A4, 13 naskhah mushaf An-Nur saiz A4, dua naskhah mushaf An-Nur saiz B5, lapan naskhah al-Quran An-Nur saiz A4, enam naskhah al-Quran Al-Hadi saiz A4, dua naskhah al-Quran Al-Fatih saiz A4 dan satu naskhah al-Quran Asy-Syifa saiz A4.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di premis perniagaannya di No 127, Tingkat 1, Jalan Bukit Puteri 9/11, Bandar Puteri Jaya, di sini pada pukul 2.40 petang, 21 Mac lepas.
Kesemua naskhah al-Quran yang ditemui berada di bawah jagaannya di dua lokasi berasingan itu dikesan tiada perakuan kelulusan oleh KDN.
Dakwaan bagi dua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 13(1) Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 1392 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Kedah,
Ameerul Izzat sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes akan disebut semula pada 7 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE
The post Peniaga tidak mengaku miliki al-Quran tiada kelulusan KDN appeared first on Kosmo Digital.