Auto Added by WPeMatico

![]()
LIPIS – Bagi mengaut keuntungan berganda, pengusaha yang mendapat permit perlombongan didapati bertindak melakukan aktiviti perlombongan di luar kawasan yang dibenarkan.
Namun kegiatan yang dikatakan dilakukan bertahun-tahun itu akhirnya berjaya dihidu pihak berkuasa yang melakukan serbuan di tapak perlombongan bijih besi Sungai Lik di sini kelmarin.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2.15 petang itu pihaknya turut menahan empat lelaki warga Myanmar yang sedang menjalankan aktiviti mengorek tanah.
“Hasil pemeriksaan di kawasan sekitar menemukan dua buah jengkaut dan dan dua buah lori pasir bernilai RM700,000 yang turut dirampas untuk membantu siasatan.
“Suspek juga gagal mengemukakan sebarang kelulusan atau dokumen berkaitan aktiviti yang sedang dilakukan dan ditahan untuk siasatan lanjut,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 425 (1) (b) Kanun Tanah Negara, Seksyen 426 (1) Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, siasatan awal mendapati tapak lombong mempunyai permit sah namun aktiviti melombong dilakukan di luar kawasan yang mempunyai permit.
Katanya, berdasarkan siasatan awal suspek bekerja sebagai buruh di lombong tersebut sejak 2024 dan usaha mengesan majikan sedang giat dilakukan.- KOSMO! ONLINE
The post Melombong di luar kawasan permit, kaut untung berganda appeared first on Kosmo Online.
