Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Ramai warga asing dikesan memperbaharui pasport, namun tiada sebarang cop atau pas sah untuk bekerja atau tinggal di negara ini, sekali gus menimbulkan syak mereka berada di Malaysia tanpa sebarang dokumen yang dibenarkan.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, kes tersebut antara yang dikesan dalam satu operasi besar-besaran di Pelangi Damansara malam tadi.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati ada antara mereka memiliki pasport baharu yang dikeluarkan dua tahun lalu, namun langsung tidak mempunyai sebarang pengesahan daripada Imigresen.
“Sebagai contoh, seorang warga asing memperbaharui pasport di kedutaan pada September 2023, namun pasport itu kosong dan tiada cop keluar masuk, tiada visa serta tiada permit kerja.
“Kes sebegini menimbulkan persoalan apa status mereka dalam tempoh dua tahun itu dan kami syak mereka berada di Malaysia tanpa pas kerja sah,” katanya ketika ditemui pada operasi berkenaan malam tadi.
Khairrul Aminus berkata, dalam operasi bermula selama sejam bermula 10 malam melibatkan seramai 50 pegawai itu, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap kira-kira 200 warga asing.
“Kebanyakan yang diperiksa adalah warga Myanmar, Nepal, Bangladesh, Filipina dan turut melibatkan seorang dari Papua New Guinea yang mengaku sebagai pelajar, tetapi gagal menunjukkan dokumen sah.
“Ramai daripada mereka bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti restoran, kafe dan pembersihan di pusat beli-belah berhampiran,” ujarnya.
Menurutnya, ada juga warga asing dipercayai menumpang rakan yang mempunyai dokumen lengkap bagi mengelakkan pemeriksaan.
Beliau menegaskan, kesemua yang gagal mengemukakan dokumen sah dibawa ke pejabat Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa Program Representasi Migran sedang berjalan dan membolehkan warga asing yang tinggal lebih masa menyerah diri tanpa ditahan. – KOSMO! ONLINE
The post Imigresen kesan warga asing perbaharui pasport tanpa pas sah appeared first on Kosmo Digital.