Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Penutupan sementara landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna media sosial selepas beberapa penerbangan dilaporkan mengalami kelewatan.
Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan, satu Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) telah dikeluarkan bagi penutupan sementara landasan berkenaan untuk membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan.
Menurutnya, landasan berkenaan akan dibuka semula sebaik sahaja pemeriksaan keselamatan dan kerja-kerja pembersihan yang diperlukan selesai dilaksanakan.
“NOTAM telah dikeluarkan bagi penutupan sementara landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan,” katanya.
Malaysia Airports turut menasihatkan penumpang supaya menyemak dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan status dan perkembangan terkini penerbangan.
Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati beberapa pengguna berkongsi pengalaman penerbangan mereka yang terjejas susulan penutupan landasan tersebut.
“Ya Allah, penerbangan saya pada pukul 1 petang ini dijangka hanya akan berlepas semula pada pukul 6.30 petang. Apa yang berlaku di Kota Kinabalu? Kenapa sampai landasan KKIA terpaksa ditutup? Penerbangan ke Kota Kinabalu tertangguh,” kata @cikgu_mer.
Seorang lagi pengguna, @niniyhariatiy turut berkongsi mengenai penumpang yang didakwa terpaksa keluar semula daripada pesawat selepas menunggu lebih sejam.
“Ya, ada anak buah dari Kota Kinabalu yang mahu terbang ke Kuala Lumpur. Sudah lebih sejam berada di dalam pesawat, akhirnya mereka diminta keluar semula,” katanya.
Terdapat juga pengguna @azrinajohariho yang mendakwa terdapat lubang pada landasan, namun dakwaan itu juga belum disahkan oleh pihak berkuasa.
Setakat ini, MAHB tidak memperincikan jenis kerosakan yang memerlukan kerja pembaikan tersebut atau tempoh sebenar landasan berkenaan akan ditutup. – KOSMO! ONLINE
The post Landasan KKIA ditutup sementara, banyak penerbangan ditangguhkan appeared first on Kosmo Online.
