Auto Added by WPeMatico

WASHINGTON – Seramai 13 warganegara Republik Dominica didakwa menipu 400 datuk dan nenek di Amerika Syarikat (AS) melibatkan nilai kerugian sebanyak AS$5 juta (RM21 juta) dengan menyamar sebagai cucu mereka, lapor portal berita NBC News hari ini.
Menurut pendakwa raya, mangsa ditipu oleh suspek yang mendakwa diri mereka sebagai cucu yang memerlukan pertolongan.
Kadangkala mereka menyasarkan mangsa yang sama berulang kali, kata pendakwa raya.
Suspek-suspek memperdayakan warga emas di negeri Massachusetts, California, New York, Florida dan Maryland dengan membuat panggilan dan mengaku mereka ialah cucu mangsa.
Menurut peguan negeri Massachusetts, Leah Foley, kumpulan tersebut memberi alasan terlibat dengan kemalangan jalan raya, ditangkap polis atau sedang menghadapi kecemasan.
Kata Foley, tujuannya adalah untuk memperdayakan mangsa agar menyerahkan wang simpanan mereka.
“Penipuan seperti ini bukan sahaja merugikan mangsa, malah memberi trauma emosi,” kata Foley dalam sidang akhbar.
Sembilan daripada suspek telah ditahan, manakala empat lagi iaitu di New York, New Jersey dan Florida masih bebas, kata pihak pendakwa. – AGENSI
The post ‘Scammer’ mengaku cucu tipu 400 datuk, nenek appeared first on Kosmo Digital.