Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menafikan dakwaan bahawa Amerika Syarikat (AS) telah meminta akses eksklusif kepada produk nadir bumi dari Malaysia.
Beliau dalam satu hantaran di Facebook berkata, dakwaan yang mengatakan negara menggadaikan standard halal untuk mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah juga tidak benar.
Beliau berkata, negara cuma memudahcara proses tersebut agar lebih pantas dan efisien.
“Import produk halal dari AS masih perlu memenuhi standard Halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Berkenaan negara akan bekalkan bahan nadir bumi/REE secara eksklusif kepada AS juga tidak betul malah tidak pernah dibangkitkan semasa rundingan tarif dengan pihak AS,” katanya.
Jelasnya, AS cuma meminta agar Malaysia tidak menyekat eksport nadir bumi atau REE ke negara itu.
“Pada masa ini memang kerajaan tidak mengenakan sekatan ke atas eksport nadir bumi yang telah diproses.
“AS meminta agar produk-produk tertentu dikenakan tarif yang lebih rendah, jadi kita bersetuju dengan permintaan tersebut khususnya bagi produk yang tidak menjejaskan industri tempatan,” katanya.
Beliau berkata, itu antara soalan cepumas yang diterima semasa sidang media tentang tarif timbal balas AS.
“Dalam rundingan yang diadakan, kedua-dua pihak berbincang secara jujur dan terbuka. Alhamdulillah, keterbukaan inilah yang membawa kepada keputusan menang-menang bagi kedua-dua pihak.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam rundingan ini, khususnya ‘team’ burung hantu MITI,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post AS tidak terima akses eksklusif produk nadir bumi appeared first on Kosmo Digital.