
![]()
PETALING JAYA: Penyanyi, Nourul Wahab, berpendapat, tidak salah untuk seorang ibu menyusukan bayi yang menyusu badan di dalam pengangkutan awam sekiranya menggunakan kain penutup dengan sopan.
Nourul atau Noorul Huda Abdul Wahab, 49, berkata, ibu yang berbuat sedemikian adalah wajar dan tiada apa-apa yang salah kerana dia hanya mahu menenangkan anak yang menangis dalam pengangkutan awam berkenaan.
“Sebagai ibu yang melahirkan empat orang anak dan menyusukan badan, tidak salah dia menyusukan anaknya dengan pakai kain penutup. Kami yang dah beranak ini memang ada kain penutup ini.
“Kain penutup ini mula popular tahun 2000 ke atas. Awak salah ini adik,” katanya menerusi satu hantaran komen di Threads miliknya.
Nourul berkongsi perkara demikian susulan tindakan seorang wanita yang memuat naik video seorang ibu yang menyusukan anaknya di dalam pengangkutan awam yang menjadi tular.
Nourul berkata, ibu berkenaan hanya mahu menjaga bayinya yang mahu menyusu badan dan telah pun mengambil langkah berhati-hati supaya kelihatan sopan dan beradab.
“Dia buat tanggungjawab dia sebagai ibu supaya anak tidak menangis dalam LRT. Dia siap tutup dan buat dengan sopan.
“Kita semua tidak sempurna. Muat naiklah sesuatu yang berguna daripada hantaran macam ini. Banyak lagi boleh muat naik seperti soal haiwan atau alam sekitar. Ini sekadar pandangan saya,” katanya.
The post Tidak salah ibu menyusukan bayi yang menyusu badan dalam pengangkutan awam – Nourul Wahab appeared first on Utusan Malaysia.
