Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Selangor mahu menarik lebih ramai tenaga kerja tempatan menyertai sektor makanan khususnya restoran beroperasi 24 jam termasuk kedai mamak bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu berkata, trend itu hasil dapatan terhadap peserta-peserta dalam program Job Care yang menyatakan minat menceburi sektor makanan.
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pencari kerja masih cenderung memilih pekerjaan di kafe berbanding restoran konvensional atau mamak yang beroperasi sepanjang masa berikutan cabaran serta tekanan kerja.
“Saya rasa sudah tiba masanya kita melihat semula bagaimana untuk menyediakan tenaga kerja tempatan kepada restoran yang beroperasi 24 jam supaya industri ini dapat dikendalikan masyarakat tempatan, sama ada di bahagian dapur, penyajian dan sebagainya.
“Jika peluang dibuka, mereka boleh menceburi bidang ini,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr. G. Gunaraj (PH- Sentosa) berhubung perancangan atau program khas kerajaan negeri bagi membantu menyediakan tenaga kerja kepada industri makanan yang masih bergantung kepada pekerja asing.
Menurut Papparaidu, Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) turut memperkenalkan pelbagai program latihan kepada golongan muda bagi membina kemahiran dalam bidang makanan.
Ketika menjawab soalan asal Sallehin Mukhyi (PN – Sabak) berhubung pengangguran tenaga buruh mahir dan separa mahir, Papparaidu menjelaskan seramai 14,768 individu di Selangor direkodkan sedang dalam transisi kerjaya berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Selangor mahu tenaga tempatan kuasai restoran 24 jam appeared first on Kosmo Digital.
