Auto Added by WPeMatico

![]()
PARIS: Lelaki terkaya di Eropah, Bernard Arnault menafikan dakwaan bahawa syarikat barangan mewahnya tidak mengambil individu berlebihan berat badan untuk bekerja di empayar perniagaan LVMH bernilai £105 bilion (RM578 bilion).
Bilinionair berusia 77 tahun itu tampil membidas dakwaan yang diterbitkan menerusi satu siasatan oleh akhbar Perancis, Le Monde yang mendakwa sebahagian besar pekerja Arnault terdiri daripada golongan berbadan langsing.
Wartawan daripada syarikat media berkenaan yang melawat ibu pejabat konglomerat barangan mewah itu di Paris menulis dalam siri laporan enam bahagian bahawa pekerja wanita di sini berdiri tegak dan kebanyakannya masih muda, jelita dan berbadan langsing.
“Anda tidak akan menjumpai walau seorang pun pekerja yang berlebihan berat badan atau berpakaian selekeh,” tulisnya.
Dalam kenyataan balas tiga halaman yang dimuat naik menerusi akaun X rasmi LVMH, Arnault berkata: “Saya memohon maaf kepada para pembaca atas kekurangan kepelbagaian fizikal ini dan saya akan membangkitkan perkara ini dengan pihak kantin syarikat pada Isnin.”
Laporan pembongkaran itu turut meneliti dengan mendalam dakwaan ketegangan yang kian memuncak dalam kalangan ahli keluarga Arnault. Ia adalah berhubung calon waris yang bakal mengambil alih empayar mewah itu.
LVMH menaungi jenama terkemuka seperti Dior, Louis Vuitton, Moët & Chandon, Tiffany & Co, Dom Perignon, Bulgari dan banyak lagi.
Siri laporan yang diterbitkan selama enam hari oleh Le Monde yang sebahagian besarnya dimiliki oleh menantu Arnault sendiri turut menyiasat pengaruh politik lelaki terkaya tersebut, penguasaannya terhadap media dan skandal percukaian.
LVMH dianggarkan bernilai kira-kira £105 bilion (RM578 bilion) sekali gus berada di kedudukan kesembilan dalam senarai individu terkaya Forbes dan meletakkan Arnault sebagai lelaki terkaya di Perancis serta seluruh Eropah. – AGENSI
The post Lelaki terkaya nafi tidak ambil pekerja obesiti appeared first on Utusan Malaysia.
