
ALOR SETAR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diperintah membayar ganti rugi RM600,000 dengan kos RM70,000 kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung saman fitnah, dua tahun lalu.
Saman fitnah itu berkaitan isu kecurian unsur nadir bumi (REE) dan dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).
Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang dikemukakan Muhammad Sanusi selaku plaintif terhadap Saifuddin selaku defendan, selain Menteri Besar Kedah itu juga didapati berjaya membuktikan kesnya.
Perintah ganti rugi tersebut melibatkan ganti rugi global sebanyak RM600,000 dengan kos RM70,000.
Mahkamah turut membenarkan tuntutan supaya Saifuddin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Muhammad Sanusi menerusi satu akhbar tempatan berbahasa Melayu dan satu akhbar tempatan berbahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.
Selain itu, defendan juga diperintah menyiarkan permohonan maaf dengan membuat sidang media dengan memanggil semua petugas media termasuk tetapi tidak terhad kepada beberapa media arus perdana, juga dalam tempoh sama.
Kenyataan permohonan maaf tersebut perlu disemak dan dipersetujui oleh plaintif.
Di samping itu, Saifuddin turut diperintah menarik balik video-video ceramah dan temu ramah media serta apa-apa video yang berkaitan dengan kenyataan-kenyataan fitnah REE dan Marris dalam tempoh 48 jam dari tarikh penghakiman.
Mahkamah juga mengarahkan perintah injunksi kekal bagi menghalang defendan atau mana-mana pihak daripada memuat naik, menyiarkan dan menerbitkan apa-apa kenyataan dalam apa juga bentuk yang mengandungi maklumat dan kandungan serupa, dengan Saifuddin perlu membuat aku janji berhubung perkara itu.
Saifuddin juga perlu membayar faedah lima peratus setahun terhadap ganti rugi ditetapkan dari tarikh pemfailan tindakan itu sehingga penyelesaian penuh bagi tujuan memberikan kepada mana-mana pusat atau institusi kebajikan.
Pada prosiding hari ini, Hakim Mohamad Johan dalam penghakimannya menjelaskan bahawa kenyataan defendan bahawa terdapat penyelewengan isu REE di Kedah dan mempersoal penglibatan plaintif malah menggelarnya pencuri memberikan impak jenayah ke atas kenyataan itu.
Bagi isu Marris, defendan telah gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian mana-mana fakta substantif yang mampu mewajarkan kenyataan itu.
Muhammad Sanusi diwakili peguam, Yusfarizal Yussoff, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd. Faizi Che Abu sementara Saifuddin diwakili peguam Navpreet Singh dan Sakina Siraj.
Kes itu berkaitan ceramah dalam Program Jelajah Madani sempena Pilihan Raya Negeri Kedah yang mengandungi fitnah terhadap Muhammad Sanusi mencuri REE dan didenda RM500,000 pada 15 Julai 2023, serta sidang akhbar bertarikh 14 Julai 2023 yang membuat tuduhan berkaitan penyalahgunaan dana Marris berjumlah RM1.6 bilion. – KOSMO! ONLINE
The post Saifuddin diperintah bayar ganti rugi RM670,000 kepada Sanusi appeared first on Kosmo Digital.