
LANGKAWI – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas isterinya di sini, bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Shafiq Ma Ean Chaiyan, 26, mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Natasha Rizal.
Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dipercayai melakukan perbuatan tersebut terhadap bekas isterinya, Fadilah Saidon, 21, di perairan Pantai Oak, Pulau Dayang Bunting, di sini pada 30 Julai lalu.
Tertuduh dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Tertuduh tidak diwakili peguam dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ain Nur Sofea Noridan.
Mahkamah juga tidak membenarkan jaminan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Oktober nanti bagi mengemukakan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki dituduh bunuh bekas isteri appeared first on Kosmo Digital.