
SEREMBAN – “Saya bukan nak jual ayah melalui ‘content’ di media sosial, tapi sekadar untuk cipta kenangan melalui gelagatnya apabila saya usik dia.. itu sahaja,” kata pempengaruh, Khairulfahmi Ismail 39, menjaga ayahnya, Ismail Ibrahim 79 yang diserang penyakit angin ahmar (strok) dan lumpuh sebelah kiri badan.
Khairulfahmi yang merupakan kakitangan Pejabat Hutan Daerah Seremban, Negeri Sembilan telah menjaga bapanya sejak 11 tahun lalu.
Dia dibantu isteri, Noor Nazeha Hairan 38, dan menganggap tugas menjaga ayahnya itu, sebagai satu rezeki.
Malah, setiap detik itu juga (jaga ayah) turut dikongsikannya menerusi media sosial sebagai kenangan.
Katanya, semua kandungan yang dikongsikan berkaitan ayah sejak 2015 itu bertujuan untuk cipta kenangan apabila dia ‘tiada’ nanti.
“Saya bukan menjual ayah dengan content yang saya buat, tapi hanya kongsikan gelagat ayah sepanjang menjaga dia.
“Saya pun tak mengambil pusing apabila ada orang cakap saya ‘jual’ ayah menerusi ‘content’ yang saya buat. Janji ayah gembira dan dalam masa saya dapat memberi inspirasi kepada mereka yang turut menjaga orang tua di luar sana,” katanya ketika ditemui di Kuala Sawah di sini dan memberitahu bapanya itu merupakan pesara tentera laut.
Mengimbas kembali, bapanya dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban selepas tidak sedarkan diri dan sebaik menerima rawatan sana mendapati ayah mengalami pendarahan dalam otak.
“Kemudian ayah terus dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan membuat pembedahan di sana dan beginilah keadaan ayah sehinggalah kini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Mahu cipta kenangan bersama bapa sakit appeared first on Kosmo Digital.