
LESMO, Itali – Pelumba pasukan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo hanya akan menyertai pasukan yang mampu membantunya kembali menjadi juara dunia apabila kontraknya bersama Yamaha tamat musim depan.
Juara dunia 2021 itu menunjukkan kesetiaan kepada Yamaha apabila bersetuju menandatangani kontrak baharu sehingga tahun depan, namun prestasi pasukan langsung tidak menunjukkan sebarang peningkatan.
Quartararo menegaskan, selepas ini dia akan lebih mengutamakan prestasi berbanding duit apabila membuat keputusan untuk menyertai mana-mana pasukan, sama seperti dilakukan Marc Marquez.
“Kita tunggu dan lihat sahaja apa yang akan berlaku selepas ini. Apa yang penting, saya perlu mengutamakan prestasi walaupun ada pasukan mungkin menawarkan kelebihan dari segi kewangan.
“Pada masa hadapan, saya akan menjadikan prestasi serta pencapaian sebagai salah satu syarat untuk menyertai mana-mana pasukan. Saya sudah belajar sesuatu pada saingan musim ini,” katanya.
Difahamkan, Quartararo memiliki kontrak dengan bayaran cukup lumayan bersama Yamaha sehingga beberapa pasukan satelit yang berminat mendapatkan khidmatnya sebelum ini terpaksa mengundurkan diri.
“Saya menandatangani kontrak baharu bersama Yamaha bukan sahaja disebabkan faktor duit kerana mereka ada projek tersendiri. Selepas ini, saya mahukan jentera yang mampu mencabar kejuaraan,” ujarnya. – AGENSI
The post Quartararo seakan menyesal pilih duit appeared first on Kosmo Digital.