
![]()
KLANG – “Saya baru pulang dari bazar Raya, hanya singgah tengok aksi mat rempit”.
Itu alasan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang antara 180 individu ditahan dalam Ops Samseng Jalan di Persimpangan Lebuh Turi di Persiaran Raja Muda Musa di sini, hari ini.
Menurut pelajar Tingkatan Tiga itu, dia dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di sekitar daerah ini kira-kira pukul 4 pagi selepas mengunjungi bazar Aidilfitri di Jalan Taping bersama seorang rakannya berusia 17 tahun.
“Saya dan rakannya pergi ke bazar raya terlebih dahulu. Masa nak balik, kami lalu kawasan ini dan singgah sekejap dan tidak sangka pula ditahan,” katanya ketika ditemui di lokasi itu.
Remaja itu mengakui pernah datang ke lokasi berkenaan sebelum ini, namun tidak memaklumkan perkara tersebut kepada ibu bapanya.
“Ini kali pertama saya ditahan dan amat menyesalinya. Saya tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan ibu dan ayah,” katanya.
Lokasi itu menjadi tumpuan baharu ‘mat rempit’ berkumpul dan melakukan aksi berbahaya selain berlumba haram pada hujung minggu.
Sepanjang operasi bersepadu selama tiga jam bermula pukul 2 pagi itu menahan 150 buah motosikal dan 180 individu berusia 15 tahun hingga 30an. – KOSMO! ONLINE
The post Baru pulang bazar raya, hanya singgah ‘port’ rempit appeared first on Kosmo Digital.




