Auto Added by WPeMatico

![]()
MALAYSIA tidak lagi boleh bergantung kepada model pertumbuhan berasaskan kos buruh rendah jika mahu keluar daripada perangkap negara berpendapatan sederhana.
Sebaliknya, pembaharuan struktur dalam pasaran buruh, peningkatan produktiviti dan perubahan cara organisasi menghargai bakat menjadi kunci kepada pertumbuhan gaji yang lebih mampan.
Baru-baru ini, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Fraziali Ismail berkata, cabaran utama negara ketika ini bukan sekadar meningkatkan kadar gaji, tetapi menangani faktor-faktor struktur yang menghalang pertumbuhan pendapatan pekerja walaupun ekonomi negara terus mencatat prestasi memberangsangkan.
Katanya, selepas pandemik Covid-19, pendapatan isi rumah meningkat pada kadar yang lebih perlahan berbanding kenaikan kos sara hidup, menyebabkan ramai rakyat masih berdepan tekanan kewangan.
Pandangan itu turut dikongsi pemain industri yang berpendapat kenaikan gaji perlu disokong oleh peningkatan produktiviti dan pembaharuan dalam pengurusan bakat.
Pengerusi Manaf Gardner Associates, Datuk Dr. Nora Manaf berkata, kebanyakan syarikat sebenarnya mempunyai kemampuan untuk menawarkan gaji yang lebih baik, namun masih terikat dengan pendekatan tradisional yang menilai pekerja berdasarkan skop tugas semata-mata.
Menurut beliau, organisasi perlu melihat pekerja sebagai aset yang mempunyai pelbagai kemahiran dan bukannya hanya melaksanakan tugasan yang dinyatakan dalam deskripsi kerja.
“Seseorang pekerja mungkin diambil untuk melaksanakan tugas tertentu, tetapi sebenarnya mempunyai kemahiran lain yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan hasil syarikat.
“Jika organisasi memberi ruang kepada pekerja memanfaatkan keseluruhan kemahiran mereka, produktiviti dan keuntungan syarikat juga akan meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, organisasi juga perlu lebih terbuka terhadap model pekerjaan yang lebih fleksibel termasuk ekonomi gig dan pekerjaan pelbagai majikan kerana pendekatan itu mampu memaksimumkan penggunaan bakat tanpa menjejaskan kepentingan organisasi.
“Budaya kerja yang lebih tangkas membolehkan syarikat menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi yang semakin pantas,” katanya.
Nora berkata, kenaikan gaji tidak seharusnya dilihat sebagai beban kos, sebaliknya sebagai pelaburan yang mampu meningkatkan hasil syarikat dalam jangka panjang.
“Syarikat perlu mengubah cara berfikir. Fokus bukan kepada berapa banyak kos tambahan yang ditanggung, tetapi berapa banyak nilai dan hasil yang boleh dijana oleh pekerja apabila mereka diberi peluang menggunakan keseluruhan kemahiran yang dimiliki,” katanya.
Beliau berkata, sistem penilaian prestasi tahunan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) secara konvensional semakin kurang relevan dalam landskap perniagaan masa kini.
Sebaliknya, organisasi disaran menggunakan sasaran yang lebih dinamik dalam tempoh tiga hingga enam bulan serta membangunkan inventori kemahiran pekerja bagi memadankan bakat dengan keperluan perniagaan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pengurus supaya tidak berasa terancam untuk mengambil pekerja yang lebih berkebolehan kerana tindakan sedemikian hanya akan menjejaskan daya saing organisasi dalam jangka panjang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata, penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) merupakan antara pemacu utama yang membolehkan syarikat meningkatkan produktiviti serta melaksanakan kenaikan gaji secara mampan.
Katanya, cabaran syarikat pada masa ini bukan sekadar berdepan peningkatan kos operasi, tetapi memastikan hasil dan keuntungan berkembang seiring dengan peningkatan kos tersebut.
“Apabila syarikat berjaya mencipta lebih banyak nilai melalui peningkatan produktiviti, hasil dan keuntungan turut meningkat. Jika kos meningkat tetapi hasil tidak berkembang, keadaan itu akan memberi tekanan kepada prestasi syarikat,” katanya.
Menurut beliau, Carsome terus melabur dalam automasi, AI dan pendigitalan proses bagi meningkatkan kecekapan operasi selain membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pembangunan ekosistem digital yang membolehkan pengedar mendapatkan bekalan, menjual kenderaan serta menawarkan pembiayaan secara lebih cekap.
Beliau berkata, peningkatan kemahiran pekerja perlu bergerak seiring dengan penggunaan teknologi supaya setiap individu mampu menjana nilai yang lebih tinggi kepada organisasi.
“Malaysia perlu beralih daripada persaingan berasaskan kos buruh yang rendah kepada penciptaan pekerjaan bernilai tinggi.
“Teknologi bukan bertujuan menggantikan pekerja, tetapi membolehkan mereka bekerja dengan lebih cekap, menghasilkan output yang lebih berkualiti dan akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan,” katanya. – UTUSAN
The post Sudah tiba masa rombak sistem gaji? appeared first on Utusan Malaysia.




