Auto Added by WPeMatico

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) didakwa mengetahui lebih awal mengenai rancangan serangan meluas Israel ke atas kemudahan nuklear, komander dan pegawai tentera Iran, lapor agensi berita Anadolu semalam.
Washington mengetahuinya beberapa hari sebelum operasi itu bermula semalam walaupun dinafikan oleh White House.
Pegawai-pegawai pentadbiran Presiden Donald Trump diberi taklimat sebelum operasi tersebut dan tidak mengemukakan bantahan.
Menurut portal berita Amerika, Axios, pegawai-pegawai berkenaan tidak membantah ataupun membuat kenyataan awam untuk menjauhkan diri daripada serangan itu.
“Kami mendapat lampu hijau AS yang jelas,” Axios memetik seorang pegawai Israel sebagai berkata.
Trump yang bercakap hanya beberapa jam sebelum serangan menyatakan bahawa Washington tidak terlibat dalam serangan Israel itu.
Namun, beliau mengaku mempunyai pengetahuan awal bahawa Israel akan menyerang Iran.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio turut menyatakan bahawa serangan Israel berlaku secara unilateral.
Tentera Israel menyerang Iran pada awal semalam dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa ia adalah percubaan untuk menghapuskan keupayaan nuklear dan peluru berpandu Tehran.
“Ini bukan operasi beberapa jam atau beberapa hari. Ia akan berterusan sehingga matlamat kami tercapai,” kata Netanyahu.
Menurut laporan Axios, perisikan Israel telah mengusahakan rancangan untuk menyerang Iran itu selama lapan bulan. – AGENSI
The post Israel dapat lampu hijau AS serang Iran appeared first on Kosmo Digital.