Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Gara-gara tindakan cuai penumpang yang membuka pintu kenderaan secara tiba-tiba, seorang pemuda terpaksa menanggung kesakitan apabila dilaporkan mengalami patah tangan serta sakit di bahagian kepala dan badan.
Menurut kakak mangsa, Siti Nabilah berkata, kejadian berlaku semasa adiknya, Izzat Aiman dalam perjalanan pulang dari tempat kerja pada Jumaat lalu.
Semasa melalui kawasan di bulatan Kampung Pandan, Kuala Lumpur tiba-tiba pintu di bahagian belakang sebuah kereta terbuka secara mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu terjatuh.
“Adik saya terjatuh, kemudian ditimpa sebuah lagi motosikal yang tidak sempat mengelak adik yang telah terjatuh.
“Dia sekarang susah untuk bergerak disebabkan kepala dan belakang badannya sakit. Doktor khuatir kalau ada bahagian yang patah, jadi buat masa sekarang masih lagi menunggu keputusan CT Scan (imbasan tomografi berkomputer),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Siti Nabilah berkata, pemilik kenderaan tersebut bagaimanapun telah tampil membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut namun belum bertanyakan khabar adiknya yang cedera dalam kejadian itu.
“Tuan kereta memang dah buat laporan, begitu juga pemilik sebuah lagi kereta terlibat iaitu Perodua Bezza.
“Setakat ini, pemilik kenderaan belum melawat ataupun bertanya khabar,” katanya.
Terdahulu, rakaman kejadian tersebut tular di media sosial apabila penunggang sebuah lagi motosikal yang terlibat dapat merakam kejadian itu melalui kamera topi keledar. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] ‘Adik saya patah tangan, pemandu kereta bukak pintu tidak tanya khabar’ appeared first on Kosmo Digital.