Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkasa dan memperluaskan mekanisme penyelesaian pertikaian secara sulh dalam Mahkamah Syariah susulan kadar kejayaan yang tinggi, termasuk ada kes berjaya diselesaikan dalam tempoh satu jam menerusi inisiatif sulh fast-track.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, kejayaan itu membuktikan pertikaian keluarga tidak semestinya perlu melalui proses perbicaraan yang panjang sekiranya kedua-dua pihak bersedia mencari jalan damai.
Katanya, menerusi statistik Mahkamah Syariah seluruh negara bagi tempoh 2022 hingga 2025, sebanyak 39,829 kes atau 88 peratus berjaya diselesaikan melalui persetujuan bersama dalam proses sulh.
Manakala katanya, bagi tahun 2024 sahaja, kadar kejayaan meningkat kepada 90 peratus.
“Di bawah Pusat Sulh, kita memperkenalkan sulh fast-track yang merupakan satu inovasi sangat baik. Bukan sahaja kes dapat diselesaikan, malah ia dapat dilakukan dengan begitu pantas.
“Kebanyakannya selesai dalam tempoh kurang sehari dan ada kes yang hanya mengambil masa satu jam. Inilah yang kita mahukan, iaitu Mahkamah Syariah membuktikan kes boleh diselesaikan dengan cepat mengikut kesesuaian serta kemampuan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Sulh dan Studio Podcast Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Zulkifli berkata, kejayaan mekanisme sulh turut mendorong Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan menjenamakan semula Seksyen Sulh kepada Pusat Sulh bagi memperluaskan skop perkhidmatan kepada masyarakat.
Menurutnya, sebelum ini sulh lebih tertumpu kepada penyelesaian tuntutan selepas perceraian, namun Pusat Sulh kini menawarkan lima teras perkhidmatan iaitu Majlis Sulh, timbangtara hakam, perdamaian dan islah, khidmat nasihat dan mediasi, selain analitik dan strategik.
Beliau berkata, pusat itu juga akan berfungsi sebagai hab pentadbiran dan pengurusan perkhidmatan hakam dengan pelantikan panel terdiri daripada pegawai mahkamah serta individu berpengalaman.
“Dengan kewujudan hakam yang lebih tersusun dan berkemahiran, diharapkan konflik yang berlaku dalam rumahtangga dapat dianalisis dengan lebih baik, di samping mengemukakan remedi bernas bagi menyelamatkan perkahwinan, terutamanya bagi kes preventable divorce (perceraian yang dapat dielakkan),” katanya.
Mengulas peningkatan kes perceraian, Zulkifli berkata, pelbagai penambahbaikan akan terus dilakukan termasuk memperkukuh undang-undang, meningkatkan kompetensi pegawai sulh serta memperluaskan latihan profesional.
Beliau turut memaklumkan kementerian sedang meneliti keperluan menambah bilangan pegawai sulh di seluruh negara memandangkan keberkesanan mekanisme itu, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira bidang kuasa kerajaan negeri. – KOSMO! ONLINE
The post Perluas kaedah sulh, ada kes diselesaikan dalam satu jam appeared first on Kosmo Digital.

