
PETALING JAYA – Rakyat Indonesia bersedia membalas budi orang Malaysia dengan memberikan pelbagai tawaran berkaitan makanan, penginapan dan percutian.
Menerusi perkongsian warga Indonesia @kikiahmadfauzi di Threads, dia berhasrat membalas budi rakyat Malaysia dengan memberi makanan ringan atau membawa bersiar-siar ke tempat menarik di Bali.
“Bulan depan (Oktober), saya akan pergi ke Kuala Lumpur untuk acara maraton, nanti saya bawakan pie susu bali atau mungkin ada permintaan untuk makanan ringan dari Indonesia.
“Jangan malu untuk hubungi saya sekiranya ada di Bali, nanti saya bawa ke tempat menarik dan makanan enak,” ujarnya.
Pemandu pelancong @milleniarizky turut menawarkan perkhidmatan percuma kepada rakyat Malaysia yang ingin bercuti di Yogyakarta, Indonesia.
“Saya ingin memberi perkhidmatan percuma kepada rakyat Malaysia yang ingin bercuti di Yogyakarta! Boleh DM (mesej peribadi) saya dan kita akan uruskan percutian bersama-sama.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan rakyat Malaysia mengambil peluang membantu warga Indonesia khususnya golongan penghantar dengan membuat pesanan di aplikasi penghantaran makanan negara tersebut.
Makanan yang dipesan kemudiannya disedekahkan kepada rakyat Indonesia sebagai tanda solidariti ketika berdepan krisis keamanan dan sikap prihatin penduduk Malaysia. – KOSMO! ONLINE
The post Rakyat Indonesia balas budi, mahu santuni orang Malaysia appeared first on Kosmo Digital.