Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Berebut teman wanita menjadi punca empat lelaki bergaduh di tepi jalan hingga tular dalam kejadian di tepi jalan Bandar Setia Alam, di sini, semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.51 petang dengan seorang daripada suspek menggunakan kayu dirakamkan orang awam sebelum video tersebut tersebar di media sosial.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, polis yang menerima maklumat kemudiannya berjaya menangkap dua suspek berusia 44 dan 69 tahun di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah ini.
Katanya, hasil soal siasat kemudiannya berjaya merampas sebatang kayu sepanjang 91 sentimeter digunakan dalam pergaduhan tersebut di lokasi kejadian selepas dipandu arah kedua-dua suspek.
“Polis kemudiannya berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 22 tahun di hadapan sebuah rumah di Taman Kapar, Klang pukul 10 malam tadi.
“Usaha mengesan seorang lagi suspek sedang dijalankan. Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perebutan teman wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja melakukan rusuhan dengan menggunakan senjata kayu atau rotan.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohamad Hanafi Abdul Ghani di talian 010-3728932,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Empat lelaki bergaduh berebut teman wanita appeared first on Kosmo Digital.
