Auto Added by WPeMatico

![]()
ALOR GAJAH – Ibu dan ibu saudara kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang meninggal dunia akibat lemas di kolam air panas di sini, malam tadi ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitenden Ahmad Abu Bakar berkata, wanita terbabit yang masing-masing berusia 27 dan 22 tahun ditahan hari ini bagi tujuan rakaman percakapan.
“Kita telah menahan dua beradik itu yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Ia berkaitan kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkannya cedera fizikal dan emosi dijangka selesai petang ini,” katanya kepada pemberita.
Jelasnya, kedua-dua mereka bagaimanapun akan dilepaskan dengan jaminan polis bagi memberi ruang kepada keluarga menguruskan pengebumian mangsa di Felda Keratong, Pahang petang ini.
Terdahulu, Kosmo! hari ini melaporkan percutian sebuah keluarga di Melaka berakhir tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia dipercayai lemas ketika mandi-manda di sebuah kolam air panas di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, mangsa yang datang bersama keluarganya dari Felda Keratong, Pahang, ditemui orang awam dalam keadaan terapung di kolam dewasa.
Menurut sumber, kejadian itu kemudian dilaporkan kepada Sukarelawan Paramedik Komuniti Melaka (Parakom) yang berada di lokasi sebelum bantuan kecemasan termasuk pernafasan kecemasan (CPR) diberikan.
Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 8.24 malam.- KOSMO! ONLINE
The post Ibu dan ibu saudara budak 6 tahun lemas ditahan appeared first on Kosmo Digital.