Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Beberapa Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan menangguhkan peningkatan harga RON95 dan kadar tarif elektrik tahun ini berikutan kenaikan tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS)
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perubahan terhadap dasar fiskal negara yang boleh memberi tekanan kos dan melemahkan sentimen perniagaan perlu ditangguh.
“Perubahan dasar ini akhirnya membebankan pengguna. Kita tangguh kenaikan RON95 pada Jun ini, tangguh kenaikan tarif elektrik pada Julai 2025 dan tangguh peluasan skop SST.
“Beli 30 pesawat Boeing dalam keadaan ekonomi tak menentu, kita tangguhkan,” katanya pada sesi perbahasan pada mesyuarat khas berkenaan isu tarif AS di Dewan Rakyat hari ini.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) pula menyarankan kerajaan membekukan syor yang boleh menambah beban industri seperti cukai atau kenaikan tarif elektrik 14.2 peratus serta pelaksanaan e-Invoice pada Julai ini.
Kata beliau, kerajaan juga wajar menimbang menarik balik cadangan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dua peratus oleh majikan bagi pekerja asing.
Selain itu, beliau mencadangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) diturunkan sebanyak satu peratus daripada tiga peratus sekarang kepada dua peratus.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, pakej rangsangan ekonomi kepada industri terjejas serta pekerja kehilangan pekerjaan perlu dlaksana.
“Sektor perbankan diwajibkan memberi pinjaman mudah atau kelonggaran pinjaman sedia ada. Jangan hanya tahu untung, tapi tidak tahu tanggung beban bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tangguh kenaikan RON95, tarik elektrik bantu rakyat appeared first on Kosmo Digital.