Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) diminta memudahkan urusan ketidakhadiran murid ke sekolah akibat influenza dengan menerima surat pengesahan ibu bapa tanpa mewajibkan sijil cuti sakit (MC) daripada doktor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy berkata, syarat mendapatkan MC boleh menjadi kekangan kepada ibu bapa, sekali gus berisiko menyebabkan anak yang dijangkiti influenza terus dihantar ke sekolah dan menyebarkan jangkitan kepada murid lain.
Menurutnya, kelonggaran itu wajar dipertimbangkan dalam keadaan penularan penyakit yang semakin membimbangkan, ditambah pula dengan masalah jerebu yang melanda negara.
“Janganlah terlalu membebankan ibu bapa dengan keperluan mendapatkan MC. Cukuplah surat pengesahan daripada ibu bapa bagi memaklumkan anak mereka tidak dapat hadir ke sekolah kerana sakit.
“Keadaan sekarang sukar, penyakit semakin meningkat dan jerebu juga semakin teruk. Kita perlu mencari jalan supaya penularan jangkitan di sekolah dapat dikawal,” katanya menerusi satu hantaran.
Beliau turut membangkitkan isu kekurangan kemudahan ujian influenza di klinik kesihatan kerajaan, yang menyebabkan ibu bapa terpaksa mendapatkan perkhidmatan di klinik swasta dengan kos yang tinggi.
Katanya, kos ujian pengesanan influenza dan ubat-ubatan yang mahal boleh menyebabkan keluarga berpendapatan rendah tidak mampu mendapatkan pemeriksaan awal, sekali gus menyukarkan usaha mengesan jangkitan dan mendapatkan rawatan sewajarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi bagi ujian pengesanan influenza serta ubat-ubatan berkaitan supaya kemudahan tersebut dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Bukan semua ibu bapa mampu membayar kos ujian influenza di klinik swasta. Kalau tiada wang, mereka mungkin tidak dapat membuat pemeriksaan dan mengetahui anak dijangkiti penyakit itu.
“Sekarang penyakit ini sudah meragut nyawa dan perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Jangan sampai hanya golongan berkemampuan mendapat akses kepada pengesanan dan rawatan, sedangkan golongan kurang berkemampuan terus menderita,” katanya.
Beliau turut meminta Ahli Parlimen membangkitkan isu berkenaan sepanjang persidangan Parlimen yang sedang berlangsung bagi mendesak langkah segera diambil demi melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat.
Katanya, kepentingan rakyat perlu diutamakan, termasuk memastikan ibu bapa tidak berdepan halangan kewangan atau prosedur yang menyukarkan mereka mengesan dan merawat influenza dalam kalangan anak-anak.- KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Influenza: ADUN Duyong rayu KPM terima surat ibu bapa tanpa MC appeared first on Kosmo Online.
