Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Seorang penganggur didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membaling kerusi plastik terhadap isterinya sehingga cedera, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Hairi Majid, 48, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 41 tahun dengan cara memukul mangsa menggunakan kerusi plastik.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang 3 Mac lalu di sebuah rumah beralamat di Taman Pengkalan Minyak Damai dalam daerah Melaka Tengah yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Mengikut fakta kes, sebelum kejadian, telah berlaku pertengkaran mulut antara pasangan berkenaan ekoran mangsa memarahi anak mereka yang merupakan orang kurang upaya (OKU) sindrom down semasa memandikan dan mempersiapkan keperluannya.
Tertuduh kemudian secara tiba-tiba membaling kerusi plastik kecil ke arah mangsa menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan tisu koyak serta bengkak pada bahagian kepala.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam merayu agar hukuman minimum diberikan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertamanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.- KOSMO! ONLINE
The post Baling kerusi plastik pada isteri, penganggur didenda RM3,500 appeared first on Kosmo Digital.
