Auto Added by WPeMatico
Jangan normalisasikan budaya songsang

![]()
PETALING JAYA – Budaya songsang tidak seharusnya dinormalisasikan atau dipromosikan dalam masyarakat, termasuk menerusi karya seni dan persembahan kebudayaan.
Ahli Akademik, Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi berkata, mesej yang ingin disampaikan dalam sambutan kebudayaan yang menampilkan pakaian tradisi Melayu baru-baru ini seakan kabur apabila dihiasi perwatakan yang seakan-akan cenderung kepada unsur homoseksual.
Beliau berkata, lebih menyedihkan apabila elemen berkenaan turut melibatkan warga Muslim sendiri sedangkan perlakuan tersebut jelas dilarang dalam Islam.
“Sekiranya sesuatu perbuatan dianggap dilarang dalam agama, maka ia tidak seharusnya dilakonkan sehingga secara tidak langsung menjadi medium kepada promosi atau normalisasi perlakuan mungkar.
“Bukan sekadar dikeji oleh Allah, Rasulullah turut melaknat kumpulan manusia yang melakukan perlakuan songsang ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, beliau berkata hubungan seks sejenis memberikan impak negatif terhadap kesihatan manusia dengan merujuk kepada statistik berkaitan HIV yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.
“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, kebanyakan penghidap HIV kini berpunca daripada hubungan songsang.
“Perubahan landskap data penghidap HIV ini menunjukkan betapa seriusnya masalah yang dihadapi oleh negara dalam menangani gejala hubungan seks sejenis,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan semua pihak, termasuk penerbit filem dan pelakon, mempunyai tanggungjawab untuk tidak terlibat dalam perlakuan atau kandungan yang disifatkannya sebagai mempromosikan kemungkaran.
“Tidak kira sama ada kita adalah penerbit filem atau pelakon yang memainkan watak bertemakan gay, adalah menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk tidak terlibat dalam perlakuan berunsur mempromosikan kemungkaran.
“Semoga Allah membimbing kita,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Jangan normalisasikan budaya songsang appeared first on Kosmo Online.
