Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Jumlah kemalangan jalan raya sempena Op Lancar Deepavali 2025 mencatat peningkatan sebanyak 5.2 peratus dengan 8,940 kes direkodkan berbanding 8,498 kes pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, meskipun jumlah kemalangan meningkat, kadar kematian akibat nahas jalan raya menurun 12 peratus, iaitu daripada 96 kes pada 2024 kepada 85 kes tahun ini.
“Selain itu, kemalangan maut juga menunjukkan penurunan sebanyak 9.8 peratus, manakala jumlah saman dikeluarkan turut berkurang 17 peratus kepada 43,379 saman berbanding 52,090 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Yusri berkata, statistik turut menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal kekal sebagai penyumbang tertinggi kematian dengan 61 orang atau 72 peratus daripada jumlah keseluruhan, namun angka itu menurun 20 peratus berbanding tahun lalu yang mencatatkan 76 kematian.
“Jalan bandaran merekodkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu 3,952 kes (44 peratus), diikuti jalan negeri (18.4 peratus) dan jalan persekutuan (13.3 peratus),” jelasnya.
Tambah beliau, penurunan kadar kematian dan pengeluaran saman mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepatuhan undang-undang serta etika pemanduan berhemah.
Beliau berkata, operasi yang dijalankan selama lima hari bermula Jumaat hingga Selasa lalu bertujuan meminimumkan kadar kemalangan serta memastikan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan Deepavali.
Menurutnya, pelaksanaan op berkenaan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan , Angkatan Pertahanan Awam serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di bawah slogan ‘Selamat Bersama JSPT’. – KOSMO! ONLINE
The post Op Lancar Deepavali: 8,940 kes kemalangan jalan raya direkodkan appeared first on Kosmo Digital.