Auto Added by WPeMatico
Orang bekerja sendiri nikmati diskaun caruman 50% di Festival Mega iLINDUNGu

PETALING JAYA: Orang bekerja sendiri (OBS) yang mengunjungi Festival Mega iLINDUNGu berpeluang menikmati manfaat diskaun caruman sebanyak 50 peratus bagi memperbaharui perlindungan sosial menerusi inisiatif KENDIRI Padanan50.
Festival Mega iLINDUNGu anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang berlangsung dari 18 September hingga hari ini kembali menemui masyarakat dengan membawa perkhidmatan perlindungan sosial lebih yang lebih dekat.
Menerusi inisiatif KENDIRI Padanan50, OBS yang layak hanya perlu membayar RM116.40 atau separuh daripada jumlah caruman Pelan 2 sebanyak RM232.80, manakala bakinya dibiayai kerajaan.
Ini bermakna, OBS yang layak hanya perlu membayar jumlah itu untuk memperbaharui dan menikmati perlindungan LINDUNG Kendiri bagi tempoh 12 bulan.
Inisiatif berkenaan khusus kepada OBS yang memperbaharui caruman LINDUNG Kendiri dalam sektor bukan mandatori di bawah Pelan 2 dan dilaksanakan sebagaimana diumumkan ketika pembentangan Belanjawan MADANI 2026.
Pencarum, Abdul Hakim Nordin berkata, inisiatif KENDIRI Padanan50 ini dapat meringankan beban caruman golongan bekerja sendiri, selain memberi peluang kepada mereka mendapatkan perlindungan sosial pada kadar lebih rendah.
“Dengan diskaun caruman sebanyak 50 peratus ini, kami hanya perlu membayar dengan kadar yang sangat murah untuk mendapatkan perlindungan selama setahun.
“Inisiatif seperti ini sangat membantu golongan bekerja sendiri yang perlu menanggung sendiri kos perlindungan sosial,” katanya ketika ditemui di festival berkenaan.
Beliau turut memuji penganjuran Festival Mega iLINDUNGu kerana memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat mengenai kemudahan PERKESO.

Dalam pada itu, pemohon inisiatif ini hanya perlu menyediakan dokumen sokongan termasuk salinan kad pengenalan dan mengemukakan sebarang dokumen pembuktian berkaitan pekerjaan sendiri yang dijalankan.
Selain itu, pemohon juga perlu mengemukakan surat pengesahan pekerjaan daripada agensi atau pihak berkuasa berkaitan tertakluk kepada jenis sektor.
Antara sektor bukan mandatori yang disenaraikan ialah pertanian, penternakan, perhutanan, perikanan, pembuatan, pembinaan, makanan, premis penginapan, perniagaan dalam talian, teknologi maklumat dan pemprosesan data.
Ia juga turut meliputi perkhidmatan profesional, perkhidmatan sokongan, kesenian, ejen, perkhidmatan isi rumah serta penjagaan, perawatan dan pemulihan kesihatan.
Dengan bayaran RM116.40 itu, pencarum memperoleh antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pengurusan Mayat.
Perlindungan turut merangkumi kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dengan tempoh perlindungan bermula selepas PERKESO menerima bayaran 50 peratus daripada pemohon.
Permohonan dan bayaran boleh dilakukan di Portal Prihatin, aplikasi Prihatin PERKESO, kaunter pejabat PERKESO berdekatan serta ejen korporat atau ejen individu LINDUNG Kendiri yang sah dilantik PERKESO.
Sebanyak 11 kategori kumpulan sasaran disenaraikan di bawah inisiatif tersebut iaitu KENDIRI Agro 2026, KENDIRI Lain Upaya 2026, KENDIRI Asal 2026, KENDIRI Seni 2026, KENDIRI Sukan 2026 dan KENDIRI Didik 2026.
Ia turut merangkumi KENDIRI Servis 2026, KENDIRI Pelancongan 2026, KENDIRI Pemimpin Masyarakat 2026, KENDIRI Pekhidmat Rumah Ibadat 2026 dan KENDIRI Sukarelawan 2026.
Bagi OBS yang pertama kali ingin mencarum dengan LINDUNG KENDIRI juga tidak melepaskan peluang untuk menikmati manfaat diskaun caruman sebanyak 70 peratus menerusi inisiatif KENDIRI Padanan70.
Sementara itu, festival yang kembali menemui masyarakat terus memberikan pengisian lebih segar dan inklusif dengan mengetengahkan aspirasi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Selain insentif kepada OBS, majikan yang hadir turut berpeluang mendapatkan diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB), manakala kaunter khas turut disediakan kepada pencarum yang sebelum ini memilih untuk tidak menyertai LINDUNG 24 Jam bagi menyertai semula skim berkenaan. – UTUSAN
The post Orang bekerja sendiri nikmati diskaun caruman 50% di Festival Mega iLINDUNGu appeared first on Utusan Malaysia.


