Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR: Karya yang dijana sepenuhnya secara autonomi oleh kecerdasan buatan (AI) tanpa pembabitan atau sumbangan kreatif manusia yang signifikan tidak boleh diberikan perlindungan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, perancangan untuk menyesuaikan kerangka perundangan sedia ada sedang berjalan bagi memastikan pembangunan ekosistem AI di negara ini berkembang secara seimbang tanpa mengabaikan perlindungan pemunya hak cipta.
Beliau berkata, usaha itu memberi tumpuan kepada empat aspek utama termasuk pemilikan karya janaan AI, penggunaan karya berhak cipta bagi tujuan melatih model AI, ketelusan penggunaan data latihan dan mekanisme yang bersesuaian.
“Sehingga kini usaha terbabit diterjemah melalui pelaksanaan siri libat urus bersama pelbagai pemegang taruh bagi memastikan sebarang pendekatan dasar atau perundangan yang dipertimbangkan kelak bersifat seimbang, praktikal dan selaras dengan kepentingan pembangunan ekonomi negara.
“Ia juga bagi mengekalkan keseimbangan antara galakan kepada inovasi teknologi, perlindungan hak pemunya hak cipta dan kemampanan ekosistem industri kreatif tempatan,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Wu Him Ven berkenaan langkah diambil Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam menangani risiko pelanggaran hak cipta dan isu kekosongan hak milik terhadap karya janaan AI.
Fuziah berkata, perkembangan litigasi dan penguatkuasaan berkaitan hak cipta melibatkan teknologi AI setakat ini lebih tertumpu di peringkat antarabangsa, khususnya berkaitan penggunaan artikel berita, imej dan rakaman bunyi sebagai data latihan AI.
Katanya, Malaysia masih belum merekodkan sebarang kes mahkamah yang menjadi duluan berhubung pelanggaran hak cipta melibatkan penggunaan teknologi AI.
“Belum wujud sebarang prinsip perundangan yang ditetapkan oleh mahkamah tempatan berhubung isu terbabit.
“Dalam hal ini, penentuan sama ada sesuatu penggunaan AI membabitkan pelanggaran hak cipta adalah bergantung kepada fakta dan keadaan setiap kes. Bagi pelanggaran yang bersifat sivil, perkara terbabit tertakluk kepada penentuan mahkamah melalui tindakan yang difailkan pemunya hak cipta.
“Sementara bagi kesalahan yang bersifat jenayah, tindakan adalah tertakluk kepada kewujudan aduan atau permohonan siasatan serta pelaksanaan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya. – UTUSAN
The post Karya AI tiada perlindungan hak cipta appeared first on Utusan Malaysia.
