Auto Added by WPeMatico

![]()
GEORGE TOWN : Seorang penganggur mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan api sehingga merosakkan sebuah kereta jenis BMW, bulan lepas.
Ho Kun Quan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh seorang jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api dengan maksud menyebabkan kerosakan terhadap sebuah kereta jenis BMW 220i berwarna perak milik Lim Siew Fong.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Ru, Ayer Itam, dalam daerah Timur Laut, Pulau Pinang, kira-kira pukul 3.51 pagi pada 8 Ogos lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 terhadap tertuduh dan mengenakan syarat tambahan supaya lelaki itu melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon agar wang jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan dia tidak bekerja dan keluarganya juga tidak berkemampuan untuk membayar wang berkenaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.
Kes seterusnya ditangguhkan pada 22 Oktober depan bagi tujuan serahan dokumen serta lantikan peguam.-UTUSAN
The post Penganggur tak mengaku khianat dengan api sehingga merosakkan BMW appeared first on Utusan Malaysia.
