Auto Added by WPeMatico

BALING – ‘Saya temui suami dalam keadaan tertiarap dalam parit dengan kepala penuh darah. Dia mungkin tergelincir ketika turun ke cerun bawah untuk baiki paip air’
Demikian cerita Zurina Hassan, 55, isteri kepada Mohd Sobari Md Noor, 56, yang ditemukan meninggal dunia di dalam parit berair di Kampung Bukit Hijau, Kupang, di sini petang tadi.
Menurut Zurina, suaminya yang merupakan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Baling keluar rumah kira-kira pukul 11 pagi tadi untuk menanam sayur di kebun yang terletak berhampiran rumah.
“Biasanya sebelum masuk waktu zuhur, suami akan pulang ke rumah tetapi kami menunggunya sehingga pukul 2 petang tetapi tiada kelibatnya.
“Saya rasa tidak sedap hati apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan terus mengajak anak lelaki mencarinya di kebun tetapi dia tiada di situ,” katanya ketika ditemui di Hospital Baling, di sini hari ini.
Katanya, dia dan anaknya kemudian ke kawasan parit berdekatan kebun sayur dan ternampak motosikal suami berada di tebing parit.
“Kami seterusnya ternampak suami dalam keadaan tertiarap di cerun parit sedalam kira-kira empat meter.
“Anak saya terus memanggil orang kampung untuk meminta bantuan dan menghubungi pihak polis serta bomba untuk membawa suami naik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya nampak suami dalam parit, kepala berdarah’ appeared first on Kosmo Digital.