
KENYATAAN bahawa nama Tanah Melayu tidak lagi wujud selepas tertubuhnya Persekutuan Malaysia bukan sahaja tidak tepat, malah boleh mengelirukan masyarakat. Lebih membimbangkan, kenyataan sedemikian dilihat cuba memadamkan hakikat sejarah negara.
Hakikatnya, Persekutuan Tanah Melayu ialah nama rasmi negara dan kini dikenali Semenanjung.
Kenyataan tersebut juga dilihat berniat tidak baik kerana dibuat bersandarkan Perkara 1(1) semata-mata. Hakikatnya, tafsiran itu perlu dibaca bersama Perkara 1(2), khususnya selepas pindaan menerusi Akta A1642 yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2022.
Pindaan tersebut dengan jelas memaktubkan 11 negeri di Tanah Melayu sebagai sebahagian daripada entiti yang bersama-sama membentuk Malaysia.
Selain itu, nama Malaysia sendiri berasal daripada perkataan bahasa Inggeris, Malay, yang membawa pengertian sebuah negara Melayu dalam ruang lingkup yang lebih luas, merangkumi Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Walaupun masyarakat Melayu bukan kumpulan majoriti di Sabah dan Sarawak, namun pengaruh tamadun serta budaya Melayu sebagai kelompok dominan di Nusantara tetap mencorakkan resam di dua wilayah Malaysia itu dari sebilangan segi.
Atas asas itu, masyarakat Kadazan-Dusun-Murut serta pelbagai kaum peribumi di Sabah, begitu juga masyarakat Dayak dan komuniti peribumi lain di Sarawak, sering dikelaskan sebagai Melayuan dalam bahasa Melayu atau Malayic dalam bahasa Inggeris.
Pengelasan ini tidak bermaksud mereka ialah orang Melayu secara spesifik tetapi mereka memiliki ciri dan boleh disifatkan sebagai seperti etnik Melayu.
Oleh itu, penggunaan perkataan Malay sebagai asas kepada nama negara baharu yang dibentuk pada tahun 1963 bukan sahaja sesuai, malah tepat dalam konteks sejarah dan geografi Nusantara.
Ciri-ciri Melayik dalam kalangan masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak dapat dilihat dengan jelas, terutama daripada aspek bahasa. Dengan bahasa Melayu dijadikan rujukan utama sebagai lingua franca dan bahasa kelompok dominan di Nusantara, bahasa yang dituturkan oleh pelbagai komuniti di kedua-dua wilayah itu memperlihatkan banyak persamaan, malah mempunyai hubungan yang rapat dengan bahasa Melayu.
Persamaan linguistik ini antaranya dapat dilihat pada nama kata bilangan asas. Untuk angka dua sehingga enam, disebut duo, tolu, apat, lomo dan onom dalam bahasa Kadazan di Sabah.
Manakala bagi bahasa Iban di Sarawak pula menyebut dua, tiga, empat, lima dan nam.
Natijahnya, kerumpunan Melayu itu amat terserlah sehingga etnik peribumi di Sabah dan Sarawak boleh dikategorikan dalam konteks Nusantara sebagai Melayuan. Dengan ini, tiga wilayah yang sama-sama membentuk Malaysia adalah tiga entiti Melayu, iaitu satu Melayu dan dua Melayuan.
Bantahan terhadap ungkapan Tanah Melayu dan tidak pula pada perkataan Malay pada Malaysia dan Malaya, antaranya memperlihat sikap negatif kepada bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini.
Jelas sekali sekiranya ungkapan bahasa Inggeris, Malaya mahu digunakan, ia tidak akan menimbulkan bantahan seperti pada penggunaan bahasa Melayu Tanah Melayu.
Kedua-dua nama Malaya atau Tanah Melayu, sudah dilupakan kerana tidak lagi digunakan sejurus penubuhan Malaysia.
Dalam hal ini, perkataan itu digantikan pada mulanya dengan Malaysia Barat dan kemudiannya Semenanjung yang kekal sehingga kini.
Satu lagi perkara penting berkaitan nama Malaya ialah penggunaannya kini semakin sensitif dalam konteks tertentu, khususnya dalam wacana awam. Hal ini kerana istilah tersebut semakin kerap digunakan sebagai ungkapan bersifat sinis atau menghina Semenanjung Malaysia serta masyarakat yang berasal dari wilayah berkenaan.
Dalam hal ini, ungkapan Malaya dan Orang Malaya yang sangat berleluasa digunakan di Sabah dan Sarawak pada satu masa dahulu, masih lagi terpakai oleh segelintir yang mempunyai kontasasi buruk.
Walaupun penggunaan neutralnya untuk membezakan rakyat Malaysia dari Semenanjung dengan yang di Sabah dan Sarawak, namun cara ia digunakan dalam nada keji dan hina, menjadi kedua-duanya sebagai kata makian.
Dengan kata lain, Malaya dan Orang Malaya antaranya pernah digunakan di Sabah dan Sarawak untuk mengungkapkan emosi marah. Bahasa itu menjadi tidak sopan kerana tiada unsur hormat.
Hal ini dapat dilihat dengan jelasnya pada perkataan buta, pekak dan tuli yang telah digunakan sebagai kata makian.
Kerana sebab itu, perkataan buta ditukar kepada cacat penglihatan, pekak kepada cacat pertuturan dan tuli kepada cacat pendengaran.
Kesemua pertukaran bagi memastikan penggunaan perkataan lebih sopan setelah kata asalnya menjadi tabu.

Dalam hal ini, ungkapan Tanah Melayu yang secara umumnya tidak pernah digunakan dalam bentuk buruk seperti perkataan Malaya, adalah masih sopan sifatnya. Oleh itu, ia boleh mula digunakan untuk merujuk kepada Semenanjung Malaysia.
Rujukan secara spesifik dengan menyebut nama sahnya, iaitu Tanah Melayu jauh lebih tertib daripada hanya merujuknya dengan nama generik dan yang berkaitan pula dengan bentuk geografinya.
Dalam pada ini, hal ini tidak berlaku kini untuk menyebut dua wilayah lain dalam Malaysia, sebaliknya diucapkan dengan penuh tertib sebagai Sabah atau Sarawak dan tidak lagi dengan nama generik lain, antaranya Malaysia Timur.
Dari satu segi, penggunaan nama generik boleh dianggap sebagai wujudnya dinamika kuasa, di samping tiada rasa hormat, walaupun yang paling asas, iaitu memanggil dengan nama sebenarnya. Dalam hal dinamika itu pula, dengan memanggil Tanah Melayu sebagai Semenanjung Malaysia, semacam mahu memperkecil, yakni tidak ingin menganggapnya penting untuk disebut nama sebenarnya.
Kerana inilah wujudnya keperluan untuk menggunakan nama Tanah Melayu. Ini penting bagi menyerlahkan individualiti Tanah Melayu. Antaranya dari segi nama khasnya untuk menonjolkan identitinya dalam konteks etnisiti Melayu.
Seperkara amat penting dalam menyebut nama wilayah Malaysia dengan menggunakan nama sebenarnya ialah untuk mengekalkan kedominanannya sebagai rakan kongsi yang sama taraf. Inilah sebenarnya yang diingini oleh semua wilayah.
Atas asas inilah, nama khas Tanah Melayu hendaklah digunakan. Ia tidak boleh lagi dirujuki dengan nama generik geografinya. Dengan penggunaan nama khasnya, dapat mempertingkat perikatan emosi terhadapnya. Sebaliknya penggunaan nama am, Semenanjung Malaysia menyebabkan perkara bertentangan berlaku, iaitu perenggangan emosi.
Dengan ini, nama Tanah Melayu wajib digunakan bukan sahaja sebagai identiti istimewa untuk memperlihat kepentingan etnik Melayu di tanah watannya sendiri, malah bagi menegaskan kekuasaan etnik itu di tanah watan mereka sendiri.
Sebetulnya dengan penggunaan nama Tanah Melayu dapat memberhentikan wilayah Malaysia daripada dijadikan objek semata-mata, iaitu hanya sebidang tanah yang menganjur panjang ke laut.
Sebaliknya wilayah Malaysia ini hendaklah ditonjolkan identiti sebenarnya sebagai bumi etnik Melayu.
Dengan ini, ia wajib dikenali sebagai Tanah Melayu sahaja dan tidak boleh lagi diberikan nama lain, sama ada Semenanjung atau Malaysia Barat, mahupun yang lain-lain. –UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
The post Tanah Melayu bukan sekadar geografi appeared first on Utusan Malaysia.





