
![]()
BEIJING – China mengumumkan hari ini bahawa ia akan melanjutkan penggantungan tarif tambahan ke atas barangan Amerika Syarikat (AS) selama setahun, menjadikannya perjanjian rasmi yang dicapai dalam rundingan antara Presiden Xi Jinping dengan rakan sejawatannya dari AS, Donald Trump minggu lalu.
Kedua-dua pemimpin itu mengadakan rundingan di Korea Selatan pada akhir Oktober lalu yang secara efektif melanjutkan penggantungan tarif selama setahun, selepas beberapa pusingan rundingan perdagangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Satu kenyataan yang diterbitkan hari ini di laman web Kementerian Kewangan dengan memetik Majlis Negara Beijing mengatakan bahawa untuk tempoh satu tahun, tarif 24 peratus ke atas barangan AS akan terus digantung, manakala tarif 10 peratus akan kekal.
Kenyataan itu mengatakan bahawa jeda tersebut adalah susulan persetujuan yang dicapai dalam rundingan ekonomi dan perdagangan China-AS serta akan berkuat kuasa bermula 10 November.
Trump semalam mengumumkan secara rasmi bahawa Washington akan mengurangkan tarif tambahannya ke atas import China daripada 20 peratus kepada 10 peratus, juga berkuat kuasa 10 November.
Suhu melonjak antara dua ekonomi terbesar dunia itu tahun ini apabila Washington dan Beijing mengenakan tarif yang semakin meningkat ke atas produk masing-masing.
Pada satu ketika, duti di kedua-dua pihak mencapai tahap tiga digit yang membebankan, sekali gus menghalang perdagangan. – AFP
The post China lanjutkan penggantungan tarif tambahan ke atas barangan AS appeared first on Kosmo Digital.