
![]()
KUALA LUMPUR – Tiada penemuan berjaya ditemui oleh Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang boleh mengesahkan individu bertanggungjawab dalam kes pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Rumusan itu dibuat oleh IIC selepas siasatan dilakukan yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.
Laporan IIC setebal 59 muka surat itu mendakwa berlaku kelemahan dalam sistem pentadbiran FAM hingga menyebabkan tercetusnya isu berkenaan dan mencadangkan badan induk itu membuat laporan polis bagi siasatan penuh serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
“IIC tidak dapat menentukan secara muktamad siapa memalsukan dokumen-dokumen yang dipertikaikan. Ia disebabkan oleh Notari Awam yang membuat pengesahan tidak memberikan kerjasama dan ejen bagi tujuh pemain terbabit tidak dapat dikesan walaupun usaha yang munasabah sudah dilakukan.
“Apa yang jelas adalah kegagalan serius daripada segi pengawasan, usaha wajar dan kawalan pentadbiran dalam pengurusan FAM yang membolehkan insiden ini berlaku tanpa pengesanan atau campur tangan.
“FAM dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis, mengambil tindakan tatatertib dalaman yang sewajarnya di mana berlaku kegagalan pemantauan serta melaksanakan pembaharuan struktur seperti yang disyorkan oleh IIC.
“Tindakan ini penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang serta memulihkan kredibiliti dan integriti operasi FAM,” menurut laporan IIC.
Bulan lalu, Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melalui laporan setebal 64 muka surat memperincikan sepenuhnya alasan badan induk bola sepak dunia itu menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM dan tujuh pemain terbabit.
Tujuh pemain berkenaan adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
FIFA sebelum ini mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) ke atas FAM, manakala setiap terbabit didenda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan.
FAM sebelum ini mengesahkan sudah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman yang dikenakan oleh FIFA. – KOSMO! ONLINE
The post Pelaku sebenar pemalsuan dokumen kekal misteri appeared first on Kosmo Digital.