Auto Added by WPeMatico

PERNAH berdepan gangguan seksual ketika kanak-kanak, pelakon Yasmin Hani mengingatkan orang ramai agar lebih cakna tentang keselamatan anak.
Yasmin atau nama lengkapnya, Yasmin Hani Ismail Richardson, 46, mengakui insiden yang berlaku di bangku sekolah itu masih segar dalam ingatannya hingga ke hari ini.
“Ketika itu saya di padang permainan dan berdiri sebelum turun gelongsor. Saya ternampak dalam sebuah kereta ada seorang lelaki asyik pandang saya dan kawan-kawan.
“Dia panggil tapi saya tak kenal. Jadi saya ajak kawan-kawan jumpa dia. Pada mulanya saya duduk jauh tapi saya rasa dia sengaja cakap perlahan. Bila datang dekat, rupa-rupanya dia beronani. Saya jerit sebab nak kantoikan dia,” katanya ketika diundang ke program audio siar Sembang Seram.
Berkongsi insiden lain, ibu kepada dua cahaya mata itu turut berdepan situasi menakutkan ketika berada di sebuah kolam awam apabila seorang lelaki berusia 50-an cuba mengambil kesempatan terhadapnya.
“Seorang lelaki menawarkan diri untuk mengajar saya berenang tapi saya tolak. Dia tegur saya salah dan ajar saya dari jauh. Dia tanya saya, sama ada saya pandai terapung atau pun tidak.
“Disebabkan dia mahu membantu, saya fikir tak mengapa sebab itu kolam untuk orang awam. Saya tak syak apa-apa sebab dia berumur lingkungan 40-an ke 50-an dan saya pula masih sekolah rendah.
“Lelaki tersebut bertindak keterlaluan apabila cuba memasukkan tangannya ke dalam baju renang saya. Saya terus jerit dan dia lompat keluar dari kolam sepantas kilat. Terus hilang,” ujarnya.
Menurutnya lagi, banyak kejadian lain yang hampir serupa berlaku ketika era persekolahan termasuk dihimpit ketika bersesak dalam bas membuatkannya sentiasa berhati-hati.
“Biasanya saya bawa payung ke mana-mana. Kalau ada cubaan sebegitu, saya sesah (libas) dengan payung. Tak pun saya jerit, nak orang lain nampak. Biar dia takut,” katanya.
Perkongsian tersebut meraih maklum balas netizen apabila rata-rata mengakui ramai individu ‘sakit’ yang mensasarkan kanak-kanak sebagai mangsa.
“Memang ramai yang cuba tunjuk benda tak senonoh kepada budak sekolah. Jerit kemudian laporkan pada polis,” kata seorang pengguna Instagram.
Terdahulu, pelakon filem Bilut itu antara selebriti yang lantang menyuarakan pelbagai isu filem dan kemasyarakatan dalam media sosialnya. – HIBGLAM
The post ‘Lelaki itu cuba masukkan tangan dalam baju renang, saya jerit’ appeared first on HibGlam.